Berita

Perkemas Puteri UMNO Putrajaya, Tawan Hati Wanita Muda

PUTRAJAYA – Menjelang mesyuarat Cawangan yang bakal dilaksana dalam tempoh lebih sebulan bermula esok, 15 Okt sehingga 30 November kelak, Pergerakan Puteri UMNO yang diketuai Cik Jumaitul Laily Zakiah bakal memantap usaha ke arah kesiapsiagaan menawan hati wanita muda tempatan.

Hal tersebut adalah inspirasi Ketua UMNO Bahagiannya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor agar golongan wanita muda turut serta dan menghayati perjuangan UMNO yang lahir atas tekad demi agama, bangsa dan negara.

Dengan diwakili isterinya, Datin Seri Anggraini Sentiyaki, satu perjumpaan bersama anggota ketua-ketua Puteri Cawangan UMNO Bahagian Putrajaya telah dijalankan di Pejabat UMNO Bahagian, di sini.

Turut dibincangkan adalah usaha memperhalusi gerak kerja yang telah dilaksanakan oleh jentera Puteri UMNO dengan pendekatan lebih agresif ke arah mendepani Pilihan Raya Umum ke-15 kelak.

Apatah lagi, dalam PRU nanti golongan muda termasuk pengundi baharu akan turut terlibat dengan pengaplikasian undi 18 yang telah diluluskan pelaksanaannya.

Semoga usaha dengan perancangan dan gerak kerja mantap akan membuahkan hasil dan anggota Puteri UMNO sepakat bergerak penuh santun menawan golongan sasar untuk mengembalikan UMNO/BN sebagai tampuk kerajaan Persekutuan kelak. – UMNOPutrajaya