Berita

Ahli Parlimen Putrajaya Berbusana Batik Di Dewan Rakyat, Sambut Perubahan Ikut Budaya Sendiri

PUTRAJAYA – Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor selaku Ahli Parlimen Putrajaya berbusana batik hadir di Dewan Rakyat pada persidangan berlangsung hari ini.

Katanya, beliau menyambut keterbukaan dalam pemakaian baju batik yang bersifat sukarela setiap Khamis apatah lagi batik adalah sebahagian dari budaya tempatan yang mesti terus diangkat untuk diperkasakan.

“Satu kelainan sidang Dewan Rakyat boleh berbaju batik… pertama kali dalam sejarah Ahli-ahli Parlimen dibenar berbaju batik dalam persidangan Dewan Rakyat. Biasanya kod etika waktu bersidang ialah berkemeja lengan panjang, bertali leher, long suit atau baju kebangsaan.

“Apa salahnya lakukan perubahan untuk kebaikan, tapi nak ubah apa apa-apa perlu fikir dulu… jangan main buat keputusan macam ubah kerajaan dulu… jadi tak salah ubah balik kalau dah tersilap.”

Dalam hal terbabit, beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Putrajaya menekankan, selain dari pakai baju batik pada hari Khamis, patutnya boleh nilai semula kenapa kita mesti ikut pakaian orang barat yang mempunyai iklim berbeza dengan negara kita.

“Mereka ada empat musim dan mereka perlu kepada baju yang boleh memanaskan, kita pula ikut mereka dan lepas tu kita pasang pendingin hawa … ‘on’ pula sekuat-kuatnya hinggakan dulu ada MP yang tak tahan sejuk sampai tak masuk Dewan.

“Lagi satu kan ke kita dapat jimatkan elektrik dan bantu alam sekitar kita sendiri.

“Ada perkara yang kita boleh lakukan tanpa perlu tiru orang Barat. Iklim dan budaya kita juga berbeza dengan mereka.”

Ujarnya, banyak lagi penambahbaikan dan pembetulkan boleh dilakukan umpamanya ruang-ruang pejabat dan juga ruang legar yang terlalu luas hinggakan banyak ruang pembaziran berlaku, ditambah lagi penggunaan tenaga dan macam-macam perkara yang boleh diperbaiki.

“Tak salah kita lakukan perubahan demi Malaysia. Kita banyak membuat pembaziran dan kesilapan yang boleh diperbetulkan demi untuk masa depan yang lebih baik,” katanya lagi menerusi kenyataan dalam laman facebooknya yang turut menyertakan foto beliau berbaju batik.

Lebih dari itu, pandangan beliau mendapat respon postif dari khalayak yang menganggap berbaju batik lebih segak dan menarik. – UMNOPutrajaya