Isu Semasa

Tanding Sendiri… UMNO Sombong???

“UMNO ni sombong. Khianat perjanjian. Berasa diri kuat”

Bila dapat respon-respon sebegini, saya cuba lihat balik apa persetujuan yang asalnya ada dalam mesyuarat Muafakat Nasional. Ada 2 persetujuan asas ketika rundingan kerusi:

Syarat pertama. Kerusi yang dimenangi pada PRU14 hendaklah dikekalkan kepada penyandang

Faktanya daripada 8 kerusi yang akan ditandingi PAS, 4 daripadanya adalah kerusi yang dimenangi UMNO pada PRU14

Syarat kedua. Kerusi yang dimenangi oleh PH akan dibahagikan antara UMNO dan PAS. Asas utama pembahagian adalah parti yang mendapat lebih undi pada PRU14 akan diberi keutamaan untuk bertanding di kerusi tersebut

Faktanya daripada 20 kerusi yang ditandingi UMNO dalam PRN kali ini, kesemuanya adalah kerusi yang mana undi UMNO melebihi undi PAS pada PRU14

Ini adalah dua perkara asas. Dalam kedua-dua syarat asas ini, saya tidak nampak satupun syarat yang dimungkiri UMNO. Jadi bagaimana kita boleh kata UMNO khianat kepada Muafakat Nasional?

Malahan daripada kerusi-kerusi ini pun, asalnya UMNO menawarkan 2 kerusi kepada PAS sebelum tawaran itu ditolak. Ini adalah kerusi-kerusi berstatus boleh menang. Bukan kerusi-kerusi sukar yang menjadi kubu PH

Saya fikir adalah hak PAS untuk memilih bertanding atas tiket PN dan melawan UMNO. Begitu juga hak UMNO / BN untuk bertanding di semua kerusi kali ini. Ia sesuatu yang tak dapat dielak memandangkan kedua-dua parti masih bereksperimen sebelum masuk ke gelangang sebenar (PRU15)

Tetapi sekurang-kurangnya berlawanlah secara seorang kawan. Kita buat secara friendly match. Kita saling hormat hak masing-masing. Kita tidak demonize satu sama lain. Kita tidak play victim untuk mencari simpati pengundi.

Friendly match adalah budaya yang sudah biasa dalam politik pilihanraya negara Barat. Bukan sesuatu yang pelik pun.

Saya bagi contoh Jerman. Parti pemerintah di peringkat persekutuan adalah gabungan Social Democratic Party of Germany (SPD) dan Christian Social Union (CSU). Ia dibentuk beberapa bulan selepas PRU 2017.

Tetapi dalam Pilihanraya Negeri Bavaria 2018, kedua-dua parti bertembung. Walaupun berlawan antara satu sama lain, kedua-dua parti masih mempertahankan dasar kerajaan persekutuan, tidak cari simpati dengan memburukkan parti rakan dan fokus untuk mengalahkan parti pembangkang

Inilah budaya politik normal di negara-negara maju. Kita juga akan mengalami perkara itu.

Masing-masing sudah memilih dengan jalan yang berbeza. Istiqamahlah dengan jalan tersebut sahaja.
—-

Abdul Rahim Hilmi Zakariya
Kuala Terengganu