Berita

BN Lancar Manifesto PRN Melaka Rabu Ini

ALOR GAJAH, 8 Nov – Barisan Nasional (BN) akan melancarkan manifesto bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka secara dalam talian pada Rabu ini, kata Pengerusi BN Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Beliau berkata manifesto berkenaan akan memberikan cadangan-cadangan terbaik untuk membangunkan Melaka jika rakyat memberikan mandat kepada BN untuk kembali menjadi kerajaan.

“Kita tunggu pengisian (manifesto) dan bagaimana ia akan digunakan kepada masyarakat. Manifesto ini akan memberikan cadangan-cadangan yang terbaik untuk negeri Melaka,” katanya pada sidang media di rumahnya di Kampung Pulau, Masjid Tanah di sini hari ini.

Beliau yang bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara dalam PRN ini menyifatkan saingan sengit akan berlaku antara dirinya, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Mas Ermieyati Samsudin dan Setiausaha Pengelola Keadilan Cabang Masjid Tanah Zainal Hassan.

“Sekali lagi saya mengatakan saingan sengit antara parti (di DUN Tanjug Bidara). Ia membabitkan sebuah parti yang membawa kelestarian dalam pengurusan rakyat dan parti (lain) yang membawa ideologi masing-masing.

“Bukan pertandingan bagi individu untuk tunjuk popular tapi parti yang berbeza ideologi. Kita melihat bahawa terbukti ruang telah diberi kepada parti yang mentadbir (kerajan negeri selama) 22 bulan… 18 bulan BN (pula) tunjuk kematangan bagaimana kita menguruskan rakyat dalam tempoh tersebut,” katanya.

Rauf, Pengerusi Perhubungan Umno Negeri Melaka dan juga bekas speaker DUN Melaka berdepan Zainal daripada Pakatan Harapan (PH) dan Mas Ermieyati daripada Perikatan Nasional (PN).

SPR menetapkan hari ini sebagai hari penamaan calon manakala tarikh mengundi bagi PRN Melaka pada 20 Nov dan undi awal pada 16 Nov susulan pembubaran DUN pada 4 Okt lepas, berikutan tindakan empat Ahli DUN menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Melaka yang mempunyai 28 kawasan DUN, mempunyai 495,196 pengundi berdaftar dengan 240,530 atau 48.57 peratus pengundi adalah lelaki dan baki 254,666 atau 51.43 peratus, wanita. – BERNAMA