Rencana

III: FAKE NEWS BECOMES REAL NEWS, REAL NEWS BECOMES FAKE NEWS

Dunia makin maju tapi bukan bermakna bebas untuk bercakap dan membuat tuduhan apa-apa saja. Kalau tak fikr undang-undang pun fikirlah dosa pahala dan nilai hati insan lain. Sebenarnya saya amat kecewa apabila ada rakyat Malaysia yang terlalu taksub dengan pemikiran barat dan kebebasan bersuara hingga menidakkan konsep kesederhanaan yang telah lama diterapkan dalam masyarakat kita.

Apatah lagi, saya menjadi bahan ejekan atau perbandingan mereka yang tak bertanggungjawab sebagaimana saya menerima video klip melalui WhatApps mempersoalkan berkaitan ahli politik yang terbabit dengan jenayah berat atau penggubahan wang haram dan mencuri duit rakyat. Nama saya dikaitkan dan ini adalah satu fitnah yang sangat berat malah saya dianggap orang luar hanya kerana saya berketurunan Acheh.

Saya menolak fitnah tersebut. Pegawai Khas saya telah membuat laporan polis berkaitan tularnya video itu. Tidakkah mereka melihat bagaimana saya diheret ke mahkamah dan berjuang menuntut pengadilan turun naik tangga saban hari sepanjang dua tahun hanya kerana saya mahu menegakkan kebenaran. Imej saya saya bukan hanya hancur malah maruah ahli keluarga saya juga turut tercalar parah.

Sungguh, bukan mudah saya melalui tekanan politik selepas BN tak jadi kerajaan. Saya dihimpit, ditekan dan cubaan rosakkan emosi saya dari dalam. Dua tahun adalah satu tempoh yang panjang untuk saya menuntut pengadilan namun syukur keluarga dan rakan-rakan teguh menyokong saya. Bukan mudah tapi alhamdulillah, kuasa Allah SWT penentu segalanya.

Sebenarnya, betapa ceteknya pemikiran mereka yang mudah menghakimi tanpa membuat penilaian asal punca apa-apa yang berlaku.

Berapa kali pula saya perlu membuat penjelasan bahawa semuanya adalah usaha terancang pihak tertentu yang mahukan negara ini tunduk kepada agenda liberal atas alasan hak sama rata, kebebasan bersuara dan keadilan dalam hak asasi manusia.

Ini bukan perkara baharu kerana usaha meruntuhkan Malaysia sebagai sebuah negara Berperlembagaan dengan sistem Beraja telah lama berlaku. Malah ada juga persatuan-persatuan atau NGO tertentu yang ditaja oleh pihak luar bagi melaksanakan agenda ini. Ini adalah kerana Malaysia adalah satu-satunya negara yang meletakkan agama Islam dalam Perlembagaan dengan hak keistimewaan bangsa Melayu
terus ada. Tapi taklah bermakna kaum-kaum lain ditolak sebaliknya kalau dilihat bangsa-bangsa lain boleh hidup makmur dan menjalankan apa-apa perusahan dengan aman.

Kalau nak jawab berkaitan soalan adakah ahli politik yang telah didakwa … kenapa hanya melihat yang terkini dan tak meninjau sejarah selepas kemerdekaan? Berapa ramai ahli politik yang perlu meletak jawatan dan berdepan hukuman di dalam penjara ekoran daripada salah silap mereka sendiri. Ini kerana negara kita ada undang-undang, tak kiralah apa jawatan sekalipun yang salah tetap salah dan yang benar akan dibebaskan.

Kerana itulah, semasa pentadbiran Barisan Nasional, kerajaan sentiasa berusaha menerapkan nilai kebersamaan dengan kesederhanaan tanpa meniru corak atau acuan dari luar. Malaysia adalah negara yang majmuk, masyarakat pelbagai kaum dengan agama dan budaya berbeza-beza. Kita hidup rukun dan saling hormat menghormati. Tak ada rasa prejudis atau sangsi antara satu sama lain sebaliknya sentiasa rasa selamat dan saling melindungi.

Jika mahu bersuara, kita ada saluran dan tahu santun bahasa dengan hujah dan fakta yang nyata. Kita perlu terus bersama tegakkan kedaulatan negara kita sebagaimana kita berusaha kekalkan budaya ketimuran dengan tolak LGBT termasuklah pelaksanaan ICERD suatu waktu lalu.

Kerana itu, janganlah tunduk kepada apa-apa cubaan atau fitnah sebaliknya nilai dahulu apa yang diperkatakan. Media sosial yang ada di hujung jari memang ada macam-macam cerita tapi jangan terima bulat-bulat semuanya. Kita perlu berfikir dan mesti matang membuat penilaian kerana kita manusia bertamadun yang tahu baik dan buruk.

Ingatlah bahawa kerana fitnah sebuah kerajaan boleh runtuh sebagaimana Barisan Nasional dimomokkan dengan pelbagai kecaman yang akhirnya hari ini Barisan Nasional terbukti adalah kerajaan terbaik berbanding parti-parti lain. Maka tolaklah fitnah dan janji-janji kosong demi kedaulatan negara dan masa hadapan rakyat keseluruhan.

TENGKU ADNAN TENGKU MANSOR
Bendahari UMNO