Berita

Demi Hak Rakyat: Surau Al-Ittifaqiyyah Putrajaya Dibangkit Dalam Parlimen

PUTRAJAYA – Kecelaruan pentadbiran ketika zaman pentadbiran Pakatan Harapan (PH) memberi kesan besar kepada rakyat khususnya warga tempatan yang sehingga kini masih merasainya apabila kelulusan pembinaan Surau Al-Ittifaqiyyah ditarik balik.

Senator Datuk Mohd Hisamudin Yahaya telah mempersoalkan berkaitan hal terbabit dalam ucapan ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2022 (Bajet 2022) pada persidangan Dewan Negara, di sini, semalam.

Bidas beliau, hak tetap hak maka ia perlu dikembalikan kepada Putrajaya.

“Kami seluruh warga Putrajaya menuntut agar pulangkan semula duit kami supaya projek pembinaan surau ini dapat diteruskan.”

Tegasnya yang juga Ketua Penerangan UMNO Putrajaya, surau amat penting kepada rakyat Putrajaya, sebagai pusat aktiviti keagamaan seperti kelas agama, fardhu ain, aktiviti korban dan khairat kematian.

“Di kesempatan ini, saya ingin membangkitkan tentang isu pembinaan Surau Ittifaqiyah di Presint 8, Putrajaya. Untuk makluman Dewan, projek surau ini telah diluluskan sebelum PRU ke14 lagi, acara pecah tanah dan sumbangan mock cek berjumlah RM6.5 juta juga telah dilakukan oleh Mantan Menteri Wilayah Persekutuan pada April tahun 2018.”

Namun, ujarnya, pasca BN tewas, pentadbiran PH melalui Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) telah menarik balik kelulusan polisi projek ini, sehinggakan MAIWP telah membuat dasar baru, bahawa mereka tidak lagi akan menanggung 100 peratus kos pembinaan mana-mana surau lagi dan ia akan menjadi tanggungan bersama iaitu 60:40.

“Untuk mencari dana sendiri sebanyak 60 peratus itu, adalah amat sukar dalam tempoh pandemik Covid-19 ini. Apatah lagi peruntukan RM6.5 juta telah tersedia sejak tahun 2018, dan jika sudah tidak ada lagi, ke manakah wang ini disalurkan?” katanya lagi. – UMNOPutrajaya