Berita

Harap Bajet 2022 Jadi Penawar, Tangani Masalah Kenaikan Harga Barang

PUTRAJAYA – Masalah keperitan hidup rakyat khususnya berkaitan kenaikan harga barang sememngnya menjadi isu utama yang disebutkan dengan masyarakat bandar tidak mempunyai pilihan bagi meneruskan kelangsungan hidup.

Sehubungan itu, Senator Datuk Mohd Hisamudin Yahaya telah membangkitkan berkaitan hal terbabit dalam siding Dewan Negara semalam.

Soalnya, bagaimanakah nasib rakyat yang tinggal di bandar, khususnya di Kuala Lumpur dan Putrajaya kerana mereka ini tidak ada tanah untuk bercucuk tanam, apatah lagi untuk membuka ladang ternakan ayam, itik dan lembu.

“Apabila rakyat buka pintu rumah, hanya nampak hutan batu. Kami sebenarnya lebih terbeban, dan tiada pilihan.”

Jelasnya, pembukaan semula ekonomi telah menyebabkan terdapat pihak yang mengambil kesempatan, malah seolah-olah membalas dendam akibat tempoh PKP yang terlalu lama.

Katanya, ketika ini peniaga di pasar terpaksa menaikkan harga ayam sehingga sekilo RM 10.70 dari RM 8, harga sayuran naik mendadak, brokoli berharga RM20, kubis bunga RM16, cili merah RM19, barang basah naik melonjak sehingga membebankan rakyat.

“Apakah punca kenaikan harga ini? Adakah kerana petani di ladang menaikkan harga? Adakah orang tengah yang mengambil kesempatan untuk keuntungan lebih besar? Atau peniaga sendiri yang menaikkan harga sewenang-senangnya?

“Oleh yang demikian, saya ingin mencadangkan satu inisiatif besar harus dilakukan oleh pihak kerajaan. Sudah tiba masanya, monopoli permit import dimansuhkan. Ia harus dibuka kepada umum agar persaingan sihat berlaku.

“Permit import ayam dibuka kepada semua yang layak, permit import kubis dibuka kepada semua yang layak, permit import kelapa dibuka kepada semua yang layak, permit import daging dibuka kepada semua yang layak, Pendek kata, semua permit import bahan mentah makanan dibuka secara bebas.

“Apabila kerajaan memberi banyak pilihan kepada pemegang permit import, maka mereka akan bersaing sesama sendiri, dan persaingan yang sihat ini akan menguntungkan rakyat, khususnya dalam tawaran harga yang rendah.”

Beliau yang juga Ketua Penerangan UMNO Bahagian Putrajaya berkata demikian dalam ucapan ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2022 (Bajet 2022).

Terdahulu beliau menzahirkan rasa puas hati dengan inisitaif yang telah diumumkan dalam Bajet 2022 bertemakan ‘Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera’ ketika negara berusaha memulihkan ekonomi akibat kesan pandemik.

“Harapan saya agar Bajet ini mampu memanfaatkan semua golongan terutama B40 dan M40 dan dapat menjadi penawar kepada masalah ekonomi yang dihadapi oleh rakyat yang tinggal di bandar,” ujarnya lagi. – UMNOPutrajaya