Berita

Perkukuh UMNO Untuk Perjuangan Sebenar Demi Agama, Bangsa, Negara

PUTRAJAYA – Perjuangan UMNO perlu terus bersemarak dan kewajipan bagi menyempurnakannya adalah terpikul di bahu ahli-ahlinya dengan memastikan gerak kerja cekap untuk keputusan yang tepat dan hasil yang mantap.

Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menekankan tentang peri pentingnya memastikan perjuangan UMNO diangkat dengan keutamaan adalah dalam memastikan agama, banhsa dan negara terjamin.

Katanya, UMNO bukanlah parti politik semata-mata tetapi di dalamnya terkandung nilai perjuangan yang berteraskan kelengkapan jati diri bangsa yang tentunya relevan dipertahankan sepanjang zaman.

“Dalam apa jua keadaan maka tentunya UMNO perlu terus dipertahankan. Dalam hal ini, ahli-ahli parti di akar umbilah yang menjadi benteng utama bagi memastikan parti tersebut teguh di dasar dan kukuh di permukaan.

“Teruskanlah pertahan kedaulatan bangsa dengan memahami sistem keadilan sosial yang berteraskan pentadbiran Demokrasi Berparlimen, berfikirlah secara waras dalam menaakul sesuatu keputusan lantas bertindaklah secara matang dan bijak dengan mengutamakan kepentingan bersama tanpa mendahulukan keberuntungan peribadi,” katanya dalam ucapan semasa mesyuarat UMNO Bahagian Putrajaya.

Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada 8 Dis lepas memutuskan untuk mengadakan mesyuarat empat peringkat UMNO iaitu Wanita, Pergerakan Pemuda, Pergerakan Puteri dan UMNO Bahagian pada 11, 12, dan 18 Dis di seluruh negara.

MKT UMNO juga memutuskan Perhimpunan Agung UMNO 2021 diadakan pada 13 hingga 15 Jan depan secara hybrid. – UMNOPutrajaya