Mesyuarat MKT UMNO: Tarikh PAU 2021, Hargai Bantuan Banjir, Tetap Sokong PM

Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO pada malam 12 Januari 2022 yang dipengerusikan oleh YB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi antara lain memutuskan bahawa :-

1.0 PERHIMPUNAN AGUNG UMNO 2021

1.1. Tarikh baharu Perhimpunan Agung UMNO 2021 ialah pada 16 – 19 Mac 2022 seperti jadual berikut :-

16 Mac 2022 (Rabu)
Perasmian Perhimpunan Agung Wanita UMNO, Pergerakan Pemuda dan Puteri oleh YB Dato’ Seri Utama Timbalan Presiden UMNO

17 Mac 2022 (Khamis)

Perhimpunan Agung Wanita UMNO, Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO berlangsung

18 Mac 2022 (Jumaat)
Ucapan Dasar Presiden dan Perasmian Perhimpunan Agung UMNO oleh YB Dato’ Seri Presiden UMNO
Perhimpunan Agung UMNO bermula

19 Mac 2022 (Sabtu)
Perhimpunan Agung UMNO hari kedua

1.2 Kehadiran Perwakilan Perhimpunan Agung UMNO
Kesemua 14 orang perwakilan setiap Bahagian akan dijemput untuk menghadiri Perhimpunan Agung UMNO 2021 dan tidak diadakan perhimpunan secara hibrid. Kesemua 5 orang Perwakilan bagi setiap sayap juga akan menghadiri Perhimpunan Agung masing-masing pada kali ini. Walaupun demikian, SOP tetap akan dipenuhi daripada segi penjarakan, pelitup muka, penggunaan Aplikasi Mysejahtera, sanitizer dan lain-lain.

2.0 Banjir besar yang melanda negara pada Disember 2021 dan Januari 2022 merupakan sesuatu yang diluar jangkaan. Pelbagai bantuan banjir yang diberi oleh kerajaan adalah dialu-alukan. Mesyuarat mengambil ingatan tentang pengurusan banjir yang perlu diperbaiki terutama di Negeri Selangor. Sidang Dewan Rakyat khas pada 20 Januari 2022 juga diharapkan dapat mengumpulkan cadangan-cadangan bernas agar Malaysia menjadi negara yang terhindar daripada banjir-banjir besar pada masa akan datang.

3.0 Majlis Kerja Tertinggi UMNO ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada ahli dan pimpinan UMNO di semua peringkat yang terlibat sebagai sukarelawan membantu mangsa banjir. Antaranya ialah kakitangan Ibu Pejabat UMNO, Biro Kebajikan UMNO, Jawatankuasa Penyelaras Bantuan Bencana Banjir Barisan Nasional, Skuad Sayang, Skuad Sabil, Wanita UMNO, Pergerakan Pemuda, Pergerakan Puteri, UMNO Bahagian dan Cawangan terutamanya di kawasan-kawasan yang terlibat banjir.

4.0 Majlis Kerja Tertinggi UMNO menegaskan bahawa sokongan kepada YAB Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob sebagai Perdana Menteri adalah sentiasa kekal malahan perlu terus dimantapkan. Majlis Kerja Tertinggi telah memutuskan agar segala kesiapsiagaan dibuat bagi memastikan perjalanan parti berjalan dengan baik dalam membuat pelbagai program bagi menghadapi pengundi 18 tahun dan pengundi baharu yang jumlahnya sekitar 5.8 juta orang.

DATUK SERI HAJI AHMAD BIN MASLAN
12 JANUARI 2022

KENYATAAN MEDIA SUA 12 JAN 2022

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

%d bloggers like this: