PRN Johor: Pilihlah Pemimpin Yang Tepat
Saya berada di Johor bersama-sama kepimpinan UMNO. DUN Johor dah dibubarkan, PRN bakal berlaku dalam masa terdekat. Namun yang tak sedap di dengar dan dibaca dalam media sosial lemparan tuduhan terhadap UMNO/BN.
Usaha memburukkan UMNO/BN makin rancak bertebaran sekarang ini. Kononnya UMNO/BN tamak kuasa dan mahu menyusahkan rakyat. Ada juga dakwa UMNO/BN nak lepaskan ‘kluster mahkamah’ sedangkan itu semua tidak benar. Kita tetap akur dengan Perlembangaan dan yakin dengan keluhuran undang-undang.
PRN inilah peluang untuk rakyat tentukan pemimpin sebenar berdasarkan kepada pentadbiran kerajaan negeri yang lalu – antara BN (sebelum PRU14), PH, PN dan kembali kepada BN. Hitung sendirilah berapa kali kerajaan bertukar ganti, dari PH yang haloba kepada PN yang caca marba hanya kerana tidak tahu mentadbir.
UMNO/BN konsisten dengan menyokong pelaksanaan demokrasi dan yakin bahawa pilihan rakyat adalah yang terbaik. PRN diadakan untuk mendapatkan mandate penuh dari rakyat. Ini kerana mandat sepenuhnya amat penting bagi meneruskan pentadbiran dalam mana-mana kerajaan pun dan kerana itu UMNO/BN kembalikan kuasa kepada rakyat melalui PRN ini. Biarlah rakyat memilih dan mana-mana parti politik yang berhasrat untuk bertanding, maka kita tunggulah pengumuman dari SPR nanti.
UMNO/BN mahukan kerajaan yang stabil iaitu mempunyai mandat penuh secara demokrasi kerana ia akan dapat merencana usaha pembangunan dan kemajuan secara mutlak tanpa berdepan dengan tentangan ideologi berbeza pihak lain.
Waktu ini saya minta semua pihak berfikir secara rasional dan tidak terpengaruh dengan agenda jahat memburukkan UMNO/BN. Imbas semula apa yang berlaku sebelum PRU-14 dan selepas itu. Ingat kembali janji-janji PH semasa mereka berkempen dan hal-hal yang terkandung dalam manifesto mereka.
Kemudian bandingkan dengan apa yang berlaku selepas rakyat memberi mandat kepada mereka, bagaimana pentadbiran mereka semasa menerajui Negeri Johor, malah sewaktu mengurus kerajaan Persekutuan.
Itu belum lagi pelbagai tohmahan yang dilemparkan kepada UMNO/BN. UMNO/BN dituduh dengan pelbagai perkara negatif, berita-berita tidak benar, macam-macam cercaan dilontarkan sehinggakan akhirnya pengundi terpedaya. Lihat saja bagaimana selepas PRU 2018 apabila keadaan negara terumbang-ambing, ekonomi jatuh merudum dan pelabur ramai yang lari. Kesannya bukan sedikit dan bukan juga sekejap kerana sehingga kini pun kita masih terasa.
Pilihlah pemimpin yang tepat. Jangan lupa onar yang dibuat untuk agama, bangsa dan negara kita.
TENGKU ADNAN BIN TENGKU MANSOR
Bendahari UMNO