Aktiviti & Komuniti

Pascabanjir: Bantuan Diagih ‘Ketua Kampung’ Demi Kebajikan Pengundi Putrajaya

PUTRAJAYA – Ahli Parlimen tempatan merangkap Ketua UMNO Bahagian tempatan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor terus cakna berkaitan keperluan rakyat termasuklah para pengundi Putrajaya yang terlibat dalam musibah banjir baru-baru ini.

Beliau akur bahawa setelah berhadapan pelbagai cabaran dan bergelut dengan pandemik COVID-19 di samping menghadapi bencana banjir, pascamusibah ini juga rakyat perlukan sokongan.

“Alhamdulillah bantuan bagi mangsa banjir pengundi Putrajaya yang tinggal di kawasan Dengkil telah selamat disampaikan dan berharap agar bantuan yang duhulur akan dapat meringankan beban mereka yang terjejas,” katanya.

Dalam masa yang sama, beliau mengajak semua komuniti Putrajaya dan para pengundi setempat untuk terus tabah di samping berterima kasih kepada mereka yang telah menzahirkan bantuan sebelum ini.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang sama-sama membantu, agensi-agensi keselamatan, kakitangan Kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), sukarelawan serta individu-individu yang bertungkus lumus membantu dan menyelaraskan misi bantuan,” katanya lagi yang mengakui bahawa misi pascabanjir adalah lebih mencabar. – UMNOPutrajaya