Berita

PRN Johor: Tarikh Mengundi 12 Mac, Penamaan Calon Pada 26 Feb – SPR

JOHOR BAHRU, 9 Feb – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Mac sebagai tarikh pengundian bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Tarikh penamaan calon bagi pilihan raya itu ditetapkan pada 26 Feb manakala pengundian awal pada 8 Mac.

Pengumuman dibuat Pengerusi SPR Datuk Abdul Ghani Salleh pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas SPR berhubung pilihan raya negeri itu di sini hari ini.

Beliau berkata Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) yang akan digunakan untuk PRN Johor ke-15 ini adalah Daftar Pemilih Induk 2021 yang dikemas kini sehingga 21 Jan 2022.

“Daftar pemilih tersebut mengandungi seramai 2,597,742 pengundi yang terdiri daripada 2,574,835 orang pengundi biasa; 10,955 orang anggota tentera dan pasangan; 11,576 anggota polis dan pasangan Polis Pasukan Gerakan Am serta 376 orang Pengundi Tidak Hadir (PTH) Luar Negara,” kata beliau.

Sementara itu, dalam satu kenyataan, Abdul Ghani berkata PRN bagi mengisi kekosongan 56 kerusi Dewan Negeri itu dianggarkan memerlukan peruntukan sebanyak RM96 juta.

Beliau berkata seramai 56 orang pegawai pengurus pilihan raya dilantik yang dibantu oleh 186 orang penolong pegawai pengurus manakala 49,290 orang petugas akan dilantik bagi mengendalikan proses Pilihan raya Umum (PRU) Dewan Negeri Johor ke-15.

“Manakala, sebanyak 1,021 buah pusat mengundi biasa yang mengandungi 4,638 tempat mengundi atau saluran dan 63 pusat mengundi awal bagi pengundian yang mengandungi 82 tempat mengundi atau saluran awal akan digunakan,” katanya.

Abdul Ghani berkata sebanyak 962 buah pusat mengundi biasa akan dibuka pada hari mengundi dari 8 pagi sehingga 6 petang manakala baki 59 pusat mengundi akan dibuka mengikut waktu yang telah diwartakan.

“Manakala bagi pusat mengundi awal, sebanyak 29 buah pusat mengundi akan dibuka dari pukul 8 pagi hingga 12 tengah hari; lapan buah pusat mengundi dibuka pada pukul 8 pagi sehingga 2 petang manakala 26 buah pusat mengundi akan dibuka pada pukul 8 hingga 5 petang,” katanya.

Bagi urusan permohonan undi pos luar negara dan dalam negara, Abdul Ghani berkata permohonan undi pos untuk pengundi kategori Borang 1B (warganegara Malaysia yang berada di luar negara) dan kategori 1C (sembilan agensi dalam sektor keselamatan dan kesihatan) dibuka mulai hari ini sehingga 18 Feb.

“Permohonan undi pos untuk kategori 1B dan 1C boleh dilaksanakan secara dalam talian. Manakala bagi kategori Borang 1A (petugas pilihan raya, ahli/pegawai SPR, anggota polis, anggota tentera dan petugas media) mula dibuka bermula hari ini sehingga 24 Feb,” katanya.

Pemohon untuk undi pos dinasihatkan agar memohon lebih awal di https://myspr.spr.gov.my/. – BERNAMA