Berita

Sokongan Kepada UMNO… Ada Bekas Ahli Ingin Kembali, Fokus Terus Perkukuh Parti

PUTRAJAYA – Ketua Penerangan UMNO Bahagian Putrajaya, Senator Datuk Hisamudin Yahaya menjelaskan bahawa sokongan kepada UMNO semakin bertambah khususnya apabila keadaan negara hari ini tidak stabil selepas peralihan politik pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 lalu.

Katanya, melihat kepada perkembangan terkini, rakyat mula menilai antara parti-parti yang pernah mentadbir iaitu anatara UMNO/Barisan Nasional (BN) dengan Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN).

“Terbukti UMNO/BN yang mampu membawa kestabilan dan hal ini memberikan pentunjuk jelas bahawa rakyat termasuklah ahli-ahli parti yang pernah meninggalkan perjuangan UMNO menyuarakan hasrat ingin kembali dan memberikan sokongan kepada BN,” katanya.

Dalam hal ini katanya, UMNO Bahagian Putrajaya tentunya tidak berhalangan namun setiap tindakan adalah berdasarkan kepada keputusan yang telah dinyatakan oleh pucuk pimpinan parti.

“Berdasarkan kenyataan dari Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan dan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid sebelum ini, tiada halangan tetapi hanya ahli biasa dan keputusan untuk diterima semula juga akan diputuskan dalam mesyuarat pengurusan bahagian,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat Biro Penerangan & Latihan UMNO Putrajaya (PERLU) yang diadakan di Pejabat UMNO Bahagian Putrajaya, malam tadi.

Memetik kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid memaklumkan tidak menolak kemungkinan untuk menerima kemasukan bekas ahli menyertai parti ini semula kerana UMNO terbuka menerima penyertaan daripada pelbagai lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang.

Namun katanya, penerimaan semula ahli mesti melalui proses seperti dalam Perlembagaan UMNO iaitu diterima hanya sebagai ahli biasa, tanpa syarat, tanpa keistimewaan atau kelebihan. – UMNOPutrajaya