Aktiviti & Komuniti

Biro Pendidikan Putrajaya Realitikan ‘Program Kami Boleh SPM 2021’

PUTRAJAYA – Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 yang tertangguh akibat pandemik COVID-19 bakal berlangsung pada Mac depan yang melibatkan para pelajar tingkatan lima.

Sehubungan itu, hasil cetusan Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor melalui Biro Pendidikan Putrajaya yang dipengerusikan oleh Naib Ketua UMNO Bahagiannya, Datuk Ahmad Faisal Abd Karim ‘Program Kami Boleh SPM 2021’ telah digerakkan sebagai aplikasi menangani keciciran pemahaman pembelajaran calon SPM di sini.

Apatah lagi sebelum ini para pelajar bertungkus-lumus mengadaptasi pembelajaran secara dalam talian apabila proses pembelajaran bersemuka terganggu apabila angka COVID-19 meningkat.

Program ini berlangsung dua kali setiap minggu hingga ke penghujung Feb ini dengan penglibatan pelajar-pelajar yang telah dikenalpasti oleh pihak sekolah. Mereka ini akan dibantu agar dapat menjawab dengan baik dalam subjek wajib lulus iaitu Bahasa Melayu dan Sejarah lantas meraih kejayaan dalam peperiksaan SPM .

Sebagai sokongan kepada para pelajar yang komited mengikuti program terbabit, tajaan makan malam turut diperoleh dari makanan segera McDonalds terdekat.

Lebih bermakna, program tersebut menjadi realiti hasil kerjasama Jabatan Pendidikan Putrajaya, Majlis Pengetua Sekolah Menengah, Perbadanan Putrajaya, Majlis Agama Islama Wilayah Persekutuan, Pejabat Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Putrajaya dan Majlis Perwakilan Penduduk Putrajaya serta NGO PEWARIS.

Semoga usaha dilakukan anak-anak Putrajaya yang bakal menduduki peperiksaan SPM akan beroleh kejayaan dengan keputusan yang cemerlang pada masa hadapan. – UMNOPutrajaya