Aktiviti & KomunitiBerita

Persidangan Hidupkan Perjuangan… UMNO Platform Martabat Agama, Bangsa, Negara – Tengku Adnan

KUALA LUMPUR, 16 Mac – Bendahari UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, Perhimpunan Agung UMNO adalah platform perjuangan bangsa sebagai sebuah parti politik yang mendukung cita-cita kebangsaan demi mengekalkan maruah dan martabat agama dan negara.

Katanya, melalui persidangan ini akan dapat menghidupkan perjuangan untuk berdepan cabaran.

“Persidangan yang menghidupkan perjuangan untuk mempertahankan kemerdekaan dan kedaulatan negara dan semestinya kita berbangga dengan parti kita setelah melalui pelbagai cabaran,” katanya dalam kenyataan menerusi laman facebooknya sempena Perhimpunan Agung UMNO 2021 yang bermula hari ini.

Sehubungan itu, beliau mengucapkan selamat bersidang kepada para perwakilan yang datang berhimpun dari seluruh negara dan mendoakan agar semuanya berjalan lancar.

“Selamat bersidang kepada semua perwakilan dan pemerhati ke Perhimpunan Agung UMNO 2021.

“Semoga Allah SWT permudahkan semua urusan kita, dilancarkan perkumpulan kita dan kita terus kekal istiqamah ikhlas berjuang memperkukuhkan UMNO demi masa depan agama, bangsa dan negara,” katanya lagi.

Perhimpunan Agung UMNO 2021 yang berlangsung empat hari bermula dengan perasmian serentak Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri oleh Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan di Dewan Merdeka malam ini, disusuli dengan perhimpunan ketiga-tiga sayap itu pada Khamis.

Perhimpunan kemudian diteruskan dengan ucapan dasar dan perasmian oleh Presiden parti Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Jumaat, dan diteruskan hingga Sabtu sebelum menutup tirai dengan penggulungan pemimpin parti. – UMNO Online