Berita

Terima Kasih Komuniti Putrajaya, Bersama Imarahkan Ramadan

PUTRAJAYA – Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menzahirkan penghargaan dan merakamkan ucapan terima kasih kepada semua komuniti setempat kerana bersama-sama mengimarahkan Ramadan di Putrajaya.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian tempatan berkata, kerjasama yang menjadi amalan bagi masyarakat Putrajaya memudahkan pelbagai gerak kerja dan memastikan setiap perancangan berlangsung dengan jayanya.

“Saya amat menghargai dan ingin mengucapkan terima kasih kepada Setiausaha Bahagian Putrajaya, Ahli Jawatankuasa Bahagian (AJK), Majlis Perwakilan Penduduk (MPP), Ketua-ketua Cawangan serta AJK Cawangan empat peringkat; Pengerusi serta AJK surau-surau dan semua yang telah sama-sama berusaha untuk mengimarahkan Ramadan dengan program Maidatul Rahman.

“Insya-Allah program ini akan berterusan dalam bulan Ramadan ini. Inilah amalan yang kita aplikasi untuk mengeratkan silaturrahim demi kesejahteraan dan muafakat keluarga besar di ‘kampung’ kita Putrajaya,” katanya.

Sehubungan itu beliau berdoa agar segala amalan yang dilaksana akan diterima Allah SWT.

“Moga kita terus istiqamah dalam perjuangan demi agama, bangsa negara – dulu, kini dan selamanya,” katanya lagi. – UMNOPutrajaya