Jangan Kelirukan Akar Umbi Parti – Tengku Adnan

PUTRAJAYA – Bendahari UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor memberi amaran agar tidak menimbulkan masalah serta mengelirukan akar umbi parti dan rakyat.

Tengku Adnan berkata, perlembagaan UMNO sudah jelas tertera bahawa mana-mana individu yang menjadi Presiden UMNO akan dilantik sebagai pengerusi Barisan Nasional (BN).

“Saya hairan kenapa kenyataan (cadangan) itu dikeluarkan oleh Annuar kerana pengerusi BN ketika ini adalah Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

“Sebagai bekas Setiausaha Agung UMNO, saya ingin jelaskan bahawa kita (UMNO) ada perlembagaan sendiri dan perkara itu sudah termaktub dalam perlembagaan parti,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan apron dan topi kepada peniaga Bazar Ramadan Putrajaya, di sini semalam.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa yang mahu Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dicadangkan sebagai pengerusi BN.

Ketika diminta mengulas mengenai keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO menamakan Ismail Sabri sebagai calon Perdana Menteri pada Pilihan Raya Umum Ke-15, ujar beliau, perkara itu sudah dibincang sejak tiga bulan lalu.

“Perkara ini dibincang dalam Biro Politik UMNO selepas mendapati beberapa pemimpin utama parti terpalit dengan beberapa isu,” katanya.

Jelasnya, beliau secara peribadi menaruh kepercayaan bahawa Ismail Sabri boleh melaksanakan tugas dan tanggungjawab sebagai Perdana Menteri. – KOSMO! ONLINE

%d bloggers like this: