Berita

‘Ketua Kampung’ Agih Voucher Raya, Kembalikan Tradisi Ceriakan Komuniti Putrajaya

PUTRAJAYA – Ketua Kampung, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor meneruskan misi menyemarakkan kebaikan dan menghulurkan bantuan yang diperlukan masyarakat dengan menyantuni golongan yang memerlukan sempena persiapan menyambut Aidilfitri.

Usaha murni yang telah menjadi tradisi bagi komuniti Putrajaya dilaksanakan saban tahun sebagai tanda prihatin kepada ‘keluarga besar’ Putrajaya.

Dalam hal ini, Tengku Adnan yang juga Ahli Parlimen merangkap Ketua UMNO Bahagian Putrajaya turut disertai isteri, Datin Seri Angraini Sentiyaki telah mengagihkan voucher Parkson Alamanda Putrajaya berjumlah RM150 kepada 490 penerima yang memerlukan untuk belanja Hari Raya Aidilfitri.

“Ini adalah inisiatif yang saya gerakkan sejak menjadi wakil rakyat di sini malah gerakan membantu rakyat dengan pelbagai cara sentiasa diaplikasi kerana berbakti ketika masyarakat susah sudah menjadi amalan UMNO dan BN sejak dulu lagi.

“Saya pernah anjur program malah menjadi amalan saban tahun namun selepas Pilihan Raya Umum (PRU-14) macam-macam ketidakstabilan politik kemudian datang pula pandemik COVID-19 yang menyebabkan kita tidak dapat menyambut perayaan dalam dua tahun ini,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap agar sumbangan yang dihulur akan dapat menceriakan rakyat Putrajaya yang bakal kembali meraikan sambutan hari raya.

“Kali ini kita kembali dengan inisiatif ini kerana bukan sahaja dapat membantu serta menceriakan penerima tetapi juga amalan pemimpin BN/UMNO dalam meneruskan khidmat bakti termasuk menyumbang kepada golongan yang memerlukan pada setiap masa.

“Saya harap sangat rakyat dapat memanfaatkan pemberian ini terutamanya yang menyambut Hari Raya nanti, ringanlah sedikit bebanan itu,” ujarnya lagi. – UMNOPutrajaya