Berita

Golongan Memerlukan Dirai, Keindahan Ramadan Diaplikasi Ceriakan Keluarga Besar Putrajaya

PUTRAJAYA – Keindahan Ramadan dengan pengisian penuh ibadah dan kemeriahan menjelang Hari Raya Aidilfitri diaplikasi oleh Ketua Kampung, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dengan meraikannya bersama-sama rakyat khususnya mereka yang memerlukan.

“Alhamdulillah, Ramadan ini kita dapat kembalikan tradisi berbuka puasa bersama-sama setelah lebih dua tahun ‘sunyi’ akibat pandemik COVID-19.

“Kali ini kita kembalikan inisiatif ini kerana bukan sahaja dapat membantu serta menceriakan rakyat tetapi juga meneruskan amalan dalam melaksanakan khidmat bakti termasuk mengeratkan hubungan silaturrahim.

“Namun kita mesti sentiasa utamakan keselamatan dan kesihatan kerana kita masih belum bebas sepenuhnya,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen merangkap Ketua UMNO Bahagian Putrajaya berkata demikian dalam ucapan ketika meraikan golongan yang memerlukan terdiri daripada orang kelainan upaya (OKU), golongan asnaf, ibu tunggal dan anak yatim.

Program anjuran Wanita UMNO yang diketuai oleh Puan Husna Abd Rahaman ini diadakan di pekarangan rumah ‘ketua kampung’ semalam.

Dalam masa yang sama, Tengku Adnan turut menyampaikan sumbangan kepada mereka dan mendoakan agar komuniti Putraja sentiasa sejahtera. – UMNOPutrajaya