Isu Semasa

Tidak Aneh Jika Ada Yang Percaya Kesahihan Pasleaks

SATU demi satu pimpinan Perikatan Nasional (PN) menggambarkan bahawa tidak wajar atau tidak logik untuk sesiapa melayan kemungkinan bahawa dokumen Pasleaks adalah sahih dan benar.

Ramai yang namakan ia dokumen sampah. Ada juga yang menggelar sesiapa yang melayan isu ini sebagai “loyar buruk”. Seolah-olah kalau percaya maka orangnya tak waras.

Sedangkan tiada yang aneh dan mengejutkan jika ramai dalam kalangan UMNO yang tertanya.

Kerana apa yang digambarkan melalui perbincangan-perbincangan yang didakwa berlaku dalam ‘Pasleaks’ itu seakan konsisten dengan pelbagai tindakan terhadap UMNO selama ini.

Cuba campurtangan dalam UMNO.

Cuba mengajar dan mengarah UMNO apa yang ia perlu buat, dengan siapa ia mesti bekerjasama dengan siapa ia tak boleh bekerjasama.

Cuba pecah-belahkan UMNO dengan adu domba. Ini semua sudah berlangsung lama dan nyata dalam tindakan dan kenyataan pimpinan dalam PN.

Lainlah kalau kandungan dokumen itu mengakui dan mengiktiraf bahawa UMNO dan Barisan Nasional (BN) boleh memimpin negara lebih baik dari mereka. Itu mungkin susah sikit nak percaya.

Natijahnya, jika ada merasakan ‘Pasleaks’ tidak luar biasa kerana memang kerja parti lawan melemahkan parti kita, maka sudah tentu, tidak luar biasa juga jika orang UMNO banyak bercakap tentangnya kerana parti sudah lama cuba ditekan, dirobek, malah dimusnah dan diharamkan.

Sememangnya kita tidak tahu kesahihan. Jika sahih, kita tak tahu siapa dalam mesyuarat-mesyuarat itu yang bocorkan dan apa tujuan mereka.

Atau sama ada mereka mewakili seluruh kepimpinan Pas atau tidak. Kita tak tahu sama ada ditambah gula garam dan cili untuk wujudkan syak wasangka dalam UMNO yang semakin lama semakin utuh kesatuannya.

Tapi yang kita tahu, ‘Pasleaks’ tak lari jauh dari realiti tindakan yang dibuat terhadap UMNO selama ini.

Itu kisah yang utama. Sama ada dokumen itu sahih atau palsu, tidak aneh mengapa isu ini “bernyawa”. – UMNO ONLINE

#sambungyangtergendala

Shahril Hamdan
Ketua Penerangan UMNO Malaysia