Aktiviti & Komuniti

Program Jom Sahur Bersama ‘Ketua Kampung’ Hargai Petugas Keselamatan

PUTRAJAYA – ‘Ketua Kampung’ Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menghargai pengorbanan petugas keselamatan yang terpaksa berjaga malam bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan komuniti setempat sentiasa terjamin.

Lantaran itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Putrajaya merangkap Ketua UMNO Bahagian tempatan mengambil inisiatif menyantuni petugas berkenaan khususnya yang menjalankan tanggungjawab dengan bertugas pada waktu malam.

Dengan diwakili isterinya, Datin Seri Angraini Sentiyaki, Program Jom Sahur telah mengagihkan pek juadah sahur kepada anggota keselamatan yang bekerja malam di kawasan Parlimen Putrajaya.

Sememangnya inisiatif tersebut telah menjadi tradisi kepada Pusat Khidmat Parlimen Putrajaya untuk menyantuni mereka, bertanya khabar di samping menghulurkan juadah untuk bersahur.

Turut serta dalam program tersebut ialah ahli jawatankuasa UMNO Bahagian Putrajaya termasuk Naib Ketuanya, Datuk Ahmad Faisal Abdul Karim di samping Wanita dan Pemuda UMNO Bahagian Putrajaya.

Juadah sahur tersebut diagih kepada kakitangan Hospital Putrajaya, balai polis, serta Balai Bomba dan Penyelamat di sini. – UMNOPutrajaya