Terus Perkasa Agenda Melayu, Bumiputera Dalam Dua Dekad Mendatang – Ahmad Zahid
KUALA LUMPUR, 15 Mei – UMNO mahu melihat agenda Melayu dan Bumiputera terus diperkasakan dalam tempoh dua dekad mendatang, termasuk memperkukuhkan agensi-agensi amanah Bumiputera, kata Presidennya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata Permodalan Nasional Berhad (PNB), Lembaga Tabung Haji (TH), Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan institusi pegangan ekuiti Bumiputera wajib menjadi agenda utama kerajaan tanpa tunduk dengan tekanan untuk agenda berkenaan dikesampingkan.
“Seperti yang telah diutarakan dalam debat perdana antara dua tokoh politik (Datuk Seri Najib Tun Razak dan Datuk Seri Anwar Ibrahim) empat hari lepas, syarikat yang pegangan ekuitinya disertai oleh PNB seperti Sapura Energy dengan lebih 10 juta pemegangan saham amanah, Amanah Saham Nasional (ASN), turut mempunyai kepentingan, mesti bantu.
“Sebanyak lebih RM5 billion telah dilaburkan oleh PNB. Syarikat itu menggaji lebih 10,000 tenaga kerja dan lebih 3,000 vendor terlibat. Tanpa menggunakan dana langsung kerajaan, PETRONAS sesuai untuk mengambil alih dan melakukann ‘turn-around’ sesegera mungkin,” katanya semasa berucap pada Perhimpunan Agung Khas UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini.
Ahmad Zahid berkata UMNO bagaimanapun bersetuju supaya pengauditan forensik dilakukan ke atas Sapura Energy agar lebih telus.
Mengimbas kembali liku politik yang dilalui UMNO sejak penubuhan pada 1946 sehingga kini, Ahmad Zahid berkata ia membuktikan UMNO telah melalui fasa-fasa perubahan, sesuai dengan dinamik politik pada sesuatu masa.
Ahmad Zahid berkata sifat politik UMNO sangat fleksibel, sentiasa melakukan perubahan dan sesuai dengan kehendak politik semasa.
“Malah kesediaan melakukan perubahan, menjadikan UMNO terus kekal relevan dalam iklim politik sepanjang zaman. UMNO pernah melalui zaman pendakian, berada di kemuncak, dan zaman kejatuhan. Kesemua era itu dilalui dengan pelbagai perubahan dan pendekatan.
“Memasuki usia 76 tahun, liku perjuangan dan perjalanan politik yang panjang, semakin mematangkan UMNO. Walaupun berhadapan dengan pelbagai cabaran dan dugaan, UMNO tidak pernah melupakan asas perjuangannya.
“24 tahun mendatang, Insya-Allah UMNO akan mencapai usia satu abad, iaitu 100 tahun lamanya. Dengan berbaki tempoh Jubli Perak sebelum mencapai usia 100 tahun, kita harus mempersiapkan UMNO untuk berhadapan dengan rencam politik, dan mewariskannya bagi diteruskan perjuangannya oleh generasi pelapis,” katanya.
Sementara itu Ahmad Zahid berkata pendekatan parti dalam memberi ruang kepada muka-muka baharu pada dua Pilihan Raya Negeri sebelum ini iaitu di Melaka dan Johor adalah antara bukti UMNO tidak ketandusan pemimpin.
Tindakan itu katanya memperlihatkan kesiapsiagaan UMNO untuk memastikan obor perjuangan parti, terus semarak menyongsong usia 100 tahun.
“Inilah dinamik politik UMNO. Kita sentiasa bersedia membuat anjakan agar sesuai dengan tuntutan semasa. Kini jumlah pengundi muda berusia bawah 40 tahun melebihi 12 juta orang atau mewakili 58 peratus daripada jumlah keseluruhan 21 juta pengundi.
“Apakah UMNO tidak cakna akan perkara ini? Apakah kita yang telah bertapak dan menjadi wakil rakyat sejak lima, enam, tujuh atau lapan penggal masih merasakan ini zaman kita lagi?” soalnya yang turut mengucapkan Selamat Hari Belia yang disambut hari ini. – BERNAMA