Konvensyen BN: Ucapan Pengerusi BN Dr Ahmad Zahid Hamidi
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Salam sejahtera dan selamat petang
Yang Berhormat Dato’ Seri Utama, Timbalan Pengerusi Barisan Nasional.
Yang Berhormat Presiden MCA
Yang Berbahagia Presiden MIC
Yang Berbahagia Presiden PBRS
Yang Berhormat dan Yang Berbahagia Ahli Dewan Tertinggi Barisan Nasional
Yang Berhormat Setiausaha Agung Barisan Nasional.
Yang Berhormat Bendahari Agung Barisan Nasional.
Yang Berhormat Ketua Wanita Barisan Nasional.
Yang Berbahagia Ketua Pemuda Barisan Nasional.
Yang Berbahagia Ketua Puteri Barisan Nasional.
Presiden Parti-Parti Bergabung Barisan Nasional:
Yang Berbahagia Presiden KIMMA
Yang Berbahagia Presiden IPF
Yang Berbahagia Presiden Makkal Sakti
Yang Berbahagia Presiden Parti Cinta Malaysia
Yang Berbahagia Presiden Malaysian Indian United Party
Yang Berbahagia Presiden Parti Punjabi Malaysia.
Yang Berhormat dan Yang Berbahagia Pengerusi Barisan Nasional Negeri-Negeri.
Ahli-Ahli Majlis Kerja Tertinggi dan Jawatankuasa Pusat UMNO, MCA, MIC dan PBRS.
Exco Wanita UMNO, MCA, MIC, PBRS Malaysia
Exco Pemuda UMNO, MCA. MIC, PBRS Malaysia
Exco Puteri UMNO dan MIC Malaysia
Exco-Exco Wanita dan Pemuda KIMMA, IPF, Makkal Sakti, Parti Cinta Malaysia, Malaysian Indian United Party dan Parti Punjabi Malaysia.
Ketua-Ketua Bahagian UMNO, MCA, MIC dan PBRS dari seluruh negara.
Saudara-saudari yang saya hormati sekalian.
Mukadimah
1. Sebagai pembuka bicara, saya ingin memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah Yang Maha Esa, bersempena sambutan ulang tahun Barisan Nasional Ke-48. Perhimpunan ini menjadi bukti bahawa Barisan Nasional masih kukuh dan kita ingin memberikan isyarat yang jelas bahawa kita sudah bersedia untuk memimpin Malaysia semula.
2. Terima kasih saya rakamkan kepada semua pimpinan parti-parti komponen dan parti-parti bergabung Barisan Nasional di semua peringkat yang datang dari seluruh negara ke konvensyen pada petang ini. Sesungguhnya komitmen yang ditunjukkan adalah manifestasi kesiap-siagaan kita untuk menjulang kembali Barisan Nasional, sebagai parti harapan untuk Malaysia bangkit semula.
3. Pada kesempatan ini, buat rakan-rakan kita di Sabah Selamat menyambut Pesta Keamatan dan rakan-rakan di Sarawak, Selamat menyambut Hari Gawai.
4. Turut hadir dalam Konvensyen Barisan Nasional kali ini adalah wakil-wakil daripada beberapa Kedutaan negara luar. Izinkan saya untuk mengalu-alukan dan meraikan kehadiran mereka.
Distinguished Ladies and Gentlemen,
5. We are deeply honoured to have top diplomats with us today. Let us give them a round of applause.
6. Welcome Your Excellencies High Commissioners, Ambassadors and Head of Missions. As Chairman of Barisan Nasional (National Front), I wish to assure you of the efforts we have been undertaking over the past few years to ensure that Barisan National will come back stronger in the next election and put Malaysia back on the right track. Political stability, which Malaysia has clearly lost in these past few years will be our utmost priority. For diplomatic normalcy, BN is giving you this assurance.
7. We believe that policy reform is a crucial catalyst for Malaysia’s business environment which has been long anticipated. We do observe that many multinational companies are currently weighing their global strategies, and actively looking at fresh incentives. We are looking forward for a better future, for all.
8. We have been receiving constant messages from the international communities informing us of their hope for BN to return and form the central government again. They missed a stable Malaysia, which used to be the land of opportunities for them to visit and invest.
MUHASABAH & FORMULA BARISAN NASIONAL
Saudara-saudari sekalian
9. Barisan Nasional yang terbentuk sejak 48 tahun lalu, merupakan kesinambungan perjuangan yang telah diasaskan melalui Parti Perikatan sejak tahun 1953. Parti Perikatan yang diteruskan melalui Barisan Nasional memimpin kerajaan selama 62 tahun, sejak negara mencapai kemerdekaan sehinggalah rakyat membuat keputusan memilih kerajaan baharu pada Pilihan Raya Umum ke-14 yang lalu.
10. Terputusnya rantai pemerintahan negara daripada tangan Barisan Nasional, empat tahun lalu memberikan natijah dan hikmah yang amat besar kepada Barisan Nasional dan rakyat. Hikmah buat Barisan Nasional ekoran kekalahan pada PRU-14, memberi ruang kepada parti untuk melakukan introspeksi atau muhasabah diri, atas kelemahan dan kekurangan yang ada serta merencana kembali pendekatan untuk bangkit semula.
11. Hikmah buat rakyat, ia telah memberi peluang untuk menilai kemampuan sebenar parti-parti yang dipilih membentuk kerajaan. Negara buat pertama kali menyaksikan, sejak empat tahun lalu, tiga kerajaan dan tiga Perdana Menteri bertukar ganti.
12. Bermula dengan kerajaan PH (Pakatan Harapan), rakyat dijanjikan pelbagai janji bulan bintang dengan slogan ‘Malaysia Baharu’, sehinggakan akar-akar yang menjadi asas pembinaan negara bangsa cuba dirobek dan dirungkaikan. Mandat rakyat dipermainkan, malah pentadbiran berasaskan dendam lebih banyak dihabiskan untuk mencari salah dan memadamkan legasi BN berbanding memfokuskan kesejahteraan rakyat.
13. Jatuh PH apabila Perdana Menteri mereka sendiri meletakkan jawatan, Kerajaan Perikatan Nasional yang sinonim dengan ‘kerajaan gagal’ pula mengambil alih, sehingga akhirnya membawa kepada peralihan kepimpinan negara buat kali ketiga yang diterajui oleh wakil daripada parti Barisan Nasional sebagai Perdana Menteri. Namun kerajaan campuran yang dibentuk dengan ihsan pembangkang pastinya tidak akan mampu bertahan lantaran terpaksa melayani pelbagai karenah tuntutan dan kepentingan parti-parti yang punya kerencaman tujuan dan matlamat.
14. Boleh disimpulkan, kesan daripada PRU-14 yang lalu, negara tidak pernah lagi merasai suasana kestabilan sebagaimana zaman BN memerintah atas beberapa faktor berikut:
i. Keghairahan untuk menawarkan Malaysia Baharu dengan merungkaikan asas toleransi pelbagai kaum dengan cubaan merobek sifat keindukan Bumiputera Melayu Islam dalam kemajmukan;
ii. Pendekatan Malaysia Baharu untuk mewujudkan kesamarataan menggantikan prinsip kesaksamaan yang digagaskan BN telah melebarkan lagi jurang hingga mencetuskan kegusaran dan menajamkan prejudis hingga menggugat keharmonian; dan
iii. Formula Malaysia Baharu yang kononnya mahu diterjemahkan melalui tadbir urus yang baik dan sifat ketelusan rupanya indah khabar dari rupa. Kuasa yang dimandatkan rakyat dieksploitasi sepenuhnya untuk membunuh seteru politik, bahkan cubaan memadamkan segala legasinya termasuklah memanipulasikan institusi yang menjadi benteng kedaulatan undang-undang. Malah tergamak memandulkan institusi parlimen untuk kekal berkuasa. Tiadanya kesetiaan kepada apa yang disepakati oleh para pembina negara dahulu, mengakibatkan kesusilaan semakin pudar.
15. Sehubungan itu, apa yang kita lalui selama hampir 4 tahun ini, meyakinkan kita bahawa hanya acuan Barisan Nasional sahaja yang mampu mencipta kestabilan. Kita harus kembalikan “Malaysia Asal’ bukan retorik ‘Malaysia Baharu’ yang ternyata gagal.
16. Malaysia Asal atau The Original Malaysia yang dimaksudkan adalah berpandukan formula BN yang digagaskan oleh ‘our forefathers’ yang telahpun dipaterikan melalui Perlembagaan Persekutuan dan diperkasakan lagi melalui Rukun Negara dan pelbagai dasar-dasar berteraskan prinsip TOLERANSI dan KESETIAAN yang tinggi dikalangan rakyat berbilang kaum.
17. BN beriltizam untuk mengembalikan acuan Malaysia yang Asal, namun dengan penambahbaikan bagi memperbaiki segala kelemahan dan menjernihkan segala keterlanjuran lalu, termasuklah dengan agenda pembaharuan institusi agar prinsip tadbir urus yang baik (good governance), ketelusan (transparency) dan pembasmian segala bentuk penyimpangan dan rasuah.
HALA TUJU DAN MEWAJAHKAN SEMULA BARISAN NASIONAL
Saudara saudari sekalian
18. Rakyat hakikatnya sudah cemuh dengan hipokrasi politiking yang menyaksikan negara menjadi tidak stabil, kehidupan mereka makin sengsara malah pencapaian ekonomi yang makin jauh ketinggalan berbanding dengan banyak negara-negara tetangga. Rakyat mahu BN kembali namun dengan wajah yang baharu!
19. Ini dapat disaksikan dengan kepercayaan diberikan rakyat melalui siri-siri kemenangan di tujuh Pilihan Raya Kecil yang bermula di Cameron Highlands, hinggalah apabila kita berjaya membentuk kerajaan negeri Sabah dengan parti individu terbesar (single largest party), menang dengan majoriti besar ¾ di Piliharaya Negeri Melaka serta menang 2/3 di PRN Johor.
20. Kebangkitan semula BN ini, saya yakin dan percaya kerana rakyat cukup bijaksana menilai dan amat memahami makna KESETIAAN DAN KESTABILAN selepas melalui tempoh 4 tahun dengan 3 bentuk kerajaan yang cacamarba. Hanya melalui kesetiaan dan kestabilan sahajalah mampu memastikan mereka dapat menjalani kehidupan yang dilimpahi dengan kemakmuran dan kesejahteraan.
21. Justeru dengan tawaran kesetiaan dan kestabilan, menjadi tanggungjawab kita bersama untuk MEWAJAHKAN SEMULA BARISAN NASIONAL tanpa sesekali memudarkan formula asas BN yang berpaksikan kepada Perlembagaan Persekutuan, prinsip kesederhanaan (moderation), toleransi, dan integrasi di samping nilai moral dan etika yang tinggi.
22. Bergerak ke hadapan dalam usaha mengembalikan Malaysia yang asal, Barisan Nasional perlu melakukan anjakan paradigma dengan proses pengislahan dalaman dan membuat tawaran yang dapat meneruskan keterujaan rakyat untuk kembali memberikan sokongan.
i. Pertama, di peringkat dalaman, Barisan Nasional mesti bersedia untuk keluar daripada kerangka lama dari segi formula pengagihan kerusi dalam menghadapi PRU ke-15;
Sementara kita sentiasa bertoleransi untuk memastikan wakil-wakil komponen dalam membentuk kerajaan yang majmuk, formula yang saya perkenalkan dalam 2 PRN terkini iaitu prinsip WALI (Winnable, Acceptable and Likeable) ternyata menggamit keyakinan rakyat kepada BN. Prinsip WALI ini akan diteruskan dengan mengambil kira potensi, kebolehmenangan, demografi dan situasi politik semasa di setiap kawasan dalam rangka pengagihan kerusi di kalangan komponen BN.
ii. Kedua, menampilkan lebih ramai muka-muka baharu sebagai wajah hadapan Barisan Nasional. Kita telah membuktikan 87% muka baharu di Melaka dan 79% di Johor telah menangkap imaginasi pengundi untuk kembali bersama Barisan Nasional.
Berdasarkan rekod di Pilihan Raya Umum Negeri Melaka dan Johor baru-baru ini, di kawasan muka-muka baharu yang ditampilkan, kita menang di semua saluran muda termasuk saluran pengundi baharu berumur 18-25 tahun.
iii. Ketiga, Barisan Nasional mesti bersifat inklusif dan lebih terbuka. Demi memastikan negara stabil dan rakyat sejahtera, BN perlu terbuka untuk menjalinkan kerjasama mahupun menerima sesiapa sahaja, selagi mana mereka menerima prinsip BN yang berteraskan kesederhanaan, yang berpaksikan kepada keikhlasan untuk membela rakyat dan kesetiaan kepada segala pasak negara.
iv. Keempat, menawarkan agenda pembaharuan dan pembaikan (islah dan reform) bagi memperkasakan lagi tata kelola, tadbir urus dan ketelusan dalam pentadbiran.
Ini juga termasuklah memastikan institusi yang menjadi benteng kedaulatan undang-undang tidak lagi dicemari dengan agenda untuk membunuh seteru politik sebagaimana yang berlaku di zaman PH seperti mengeksploitasi institusi Peguam Negara dan SPRM, sehinggakan pelantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM juga daripada kalangan pemimpin politik.
Semua ini perlu dijamin agar tidak lagi berulang. Menjadi kerajaan bukan bermakna menjadikan institusi negara sebagai perkakasan. Sebaliknya menjadi kerajaan adalah seperti mana Barisan Nasional bergerak ke hadapan, membangunkan kapasiti negara, memakmurkan ekonomi untuk agihan tanpa mengira kaum, mewujudkan peluang untuk anak-anak Malaysia melebarkan usaha, membina upaya anak-anak muda agar mereka lebih berdaya saing.
v. Kelima, mengembalikan ekonomi Malaysia ke landasan asal untuk menjadi Negara yang maju berpendapatan tinggi dengan matlamat menjadikan negara sebagai destinasi utama pelaburan rantau Asia Tenggara, agihan ekonomi yang saksama, memperhebatkan pelbagai bantuan kepada rakyat berasaskan orientasi ‘need-based’ dan bukannya ‘race-based’, pengurusan ekonomi yang mapan, lebih telus dan berpandukan tadbir urus yang baik dan bagi merancakkan kembali pertumbuhan.
Barisan Nasional memiliki pengalaman dan kepakaran untuk digembleng bagi menyusun balik usaha-usaha memacu ekonomi dan membantu rakyat yang kini sedang berhadapan dengan kos sara hidup yang tinggi dan harga barangan keperluan yang meningkat amat mendadak. Ini termasuklah pengalaman kita menguruskan ekonomi dalam pelbagai zaman kegawatan dan krisis ekonomi yang hebat.
Saudara-saudari sekalian
23. Dengan tekad untuk mewajahkan semula Barisan Nasional itu, kita perlu membuat persiapan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum yang akan datang. Walaupun ada yang mahukan kepastian bilakah pilihanraya berkenaan akan diadakan, biarlah saya dan Perdana Menteri berbincang bagi menentukan jeda waktu yang terbaik untuk kita menghadapi PRU-15.
24. PRU ke-14 sudah lebih empat tahun berlalu. Ertinya PRU ke-15 boleh berlangsung pada bila-bila masa. BN tidak boleh leka. Segala persiapan menghadapi PRU seharusnya sudah mencapai tahap tertinggi. Dan saya benar-benar berharap, semua komponen BN harus lebih banyak terlibat dalam kerja-kerja teknikal pilihan raya. Kita perlu bekerja dan bersedia untuk menang.
25. Seperti yang pernah diungkapkan oleh Sun Tzu:
“Victorious warriors win first and then go to war, while defeated warriors go to war first and seek to win”.
Maksudnya: Pahlawan yang menang dalam mana-mana peperangan memasuki medan perang setelah membuat persiapan yang rapi untuk menang sehingga mereka yakin dengan kemenangan, sedangkan pahlawan yang kalah akan memasuki medan peperangan tanpa persediaan, tetapi mengharapkan kemenangan.
26. Justeru, sebagai pemimpin dan anggota parti, tugas dan tanggungjawab kita adalah untuk membuat persiapan. Perkemaskan jentera di peringkat akar umbi. Jalankan usaha untuk mengukur tahap sokongan rakyat di kawasan Parlimen, DUN dan PDM masing-masing.
27. Di peringkat kepimpinan, selepas Perhimpunan kita hari ini, bermula pertengahan Jun 2022, Timbalan Pengerusi Barisan Nasional akan mengetuai pasukan kerja pusat untuk mula turun ke Negeri-Negeri bagi meninjau persiapan jentera.
28. Saya mahu Jawatankuasa Pilihan Raya Barisan Nasional di setiap peringkat diaktifkan segera.
29. Tanamkan dalam pemikiran dan tindakan kita mulai sekarang, yang bertanding adalah Barisan Nasional, bukan UMNO, bukan MCA, bukan MIC, dan bukan PBRS, waima jika ada peluang untuk parti-parti bergabung, mereka juga membawa wajah dan wadah Barisan Nasional.
30. Gerakkan kita adalah gerakkan biru. Lambang kita adalah satu, Dacing yang menjadi lambang neraca kesetiaan dan kestabilan, lambang kemakmuran dan kesejahteraan.
31. Dengan harapan itu, ayuh kita bulatkan tekad, tetapkan pendirian bahawa yang paling utama adalah Barisan Nasional; yang harus dimenangkan adalah Barisan Nasional; yang akan menjadi sandaran rakyat adalah Barisan Nasional.
SELAMAT MENYAMBUT ULANG TAHUN BARISAN NASIONAL KE-48.
Sekian, terima kasih
Wabilahhi tawfiq wal hidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh
You must be logged in to post a comment.