Berita

Ahli Parlimen Putrajaya Terima Kunjungan Hormat MCMC Wilayah Persekutuan

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Wilayah Persekutuan Putrajaya, YB Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor telah menerima Kunjungan hormat Pengarah Negeri Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) Wilayah Persekutuan yang diketuai oleh Pengarah Negerinya En Alyas Roy Haji Amir di Parlimen Malaysia.

Antara perkara yang diperbincangkan adalah membabitkan isu isu berkaitan perkembangan industri telekomunikasi dalam negara.

Selain itu turut dikongsikan ialah berkenaan inisiatif-inisiatif utama MCMC seperti Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) dan Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi) di seluruh negara secara keseluruhannya dan di Wilayah Persekutuan Putrajaya khususnya.

MCMC memaklumkan bahawa di Wilayah Persekutuan Putrajaya, liputan jalur lebar mudah alih 4G telahpun mencapai 100% liputan dan perkhidmatan rangkaian 5G juga telah tersedia semenjak Disember 2021.

Manakala, purata kelajuan jalur lebar mudah alih di Putrajaya setakat suku pertama 2022 telah mencapai 86.88 Mbps. Pelbagai inisiatif lain juga dilaksanakan oleh MCMC dimana kesemua inisiatif ini dijangka akan menyumbang kepada usaha penambaikan liputan dan juga tahap kelajuan jalur lebar di Wilayah Persekutuan Putrajaya. Pihak MCMC komited dalam memastikan kualiti pengalaman perkhidmatan komunikasi senantiasa berada pada paras yang terbaik sepanjang masa.

Dilaporkan sebanyak 29 struktur telekomunikasi baharu yang dikenali sebagai Distributed Radio Access Network (DRAN) telah dibangunkan bagi menyokong inisiatif ini. Selain itu, sebanyak 31 struktur telekomunikasi sedia ada juga telah dinaik taraf oleh Penyedia Perkhidmatan untuk memastikan kualiti dan kapasiti perkhidmatan jalur lebar tanpa wayar di Putrajaya dapat dipertingkatkan.

Semua usaha ini digerakkan secara bersama oleh MCMC dan PPj dengan kerjasama syarikat Penyedia Perkhidmatan telekomunikasi. Menyentuh mengenai pelaksanaan 5G oleh Digital Nasional Berhad (DNB) di Putrajaya pula, MCMC turut kongsikan bahawa sebanyak 123 tapak telah dirancang sepanjang tahun 2021-2022 dan setakat ini sebanyak 75 tapak telah pun siap beroperasi sepenuhnya.

Pertemuan selama lebih sejam ini sebahagian daripada usaha MCMC, Pejabat Wilayah Persekutuan untuk menjalinkan kerjasama strategik dengan ahli ahli Parlimen di Wilayah Persekutuan bagi mendapatkan pandangan dan input berkaitan isu-isu pembangunan telekomunikasi bagi mencapai sasaran 100% liputan di seluruh kawasan berpenduduk di Wilayah Persekutuan yang merangkumi Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan. – UMNOPutrajaya