Berita

Larangan Tukar Parti Lulus, Isyarat Ahli Parlimen Amalkan Politik Matang – PM

KUALA LUMPUR, 28 Julai – Pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi mewujudkan peruntukan larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti yang diluluskan di Dewan Rakyat hari ini adalah isyarat jelas bahawa Ahli Parlimen mengamalkan politik matang.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata politik matang itu berteraskan semangat Keluarga Malaysia dengan meletakkan kepentingan dan kesejahteraan rakyat dalam apa juga perancangan dan pelaksanaan.

“Terima kasih saya ucapkan kepada semua Ahli-ahli Yang Berhormat (Ahli Parlimen) sama ada daripada blok kerajaan, pembangkang dan Bebas yang melakar sejarah pada hari ini.

Syabas kerana Ahli-ahli Yang Berhormat yang berada di dalam dewan yang mulia telah menjalankan amanah rakyat melalui sistem Demokrasi Berparlimen,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata pindaan itu penting bagi memastikan kestabilan politik yang berpanjangan.

Hari ini, Dewan Rakyat meluluskan pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi mewujudkan peruntukan larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti atau lebih sinonim dengan istilah “lompat parti” dengan mendapat sokongan lebih dua pertiga ahli dewan.

Ismail Sabri berkata Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 itu diluluskan menerusi undi belah bahagian yang menyaksikan seramai 209 Ahli Parlimen yang hadir mengundi untuk menyokong, tiada yang menentang atau berkecuali manakala 11 lagi tidak hadir.

Beliau berkata Rang Undang-Undang berkenaan terhasil selepas pelbagai sesi libat urus, pandangan serta melalui Jawatankuasa Pilihan Khas secara dwipartisan melibatkan wakil parti-parti utama di Dewan Rakyat.

Perdana Menteri juga mengucapkan terima kasih kepada semua 54 Ahli Parlimen yang telah menyertai sesi perbahasan dan memberikan pandangan mereka berkenaan rang undang-undang itu.

Pindaan Perlembagaan itu mengandungi empat perenggan dan enam fasal, dengan empat daripadanya adalah fasal baharu antaranya menyebut seseorang Ahli Dewan Rakyat akan hilang kerusi dimenanginya, jika wakil rakyat itu bertukar parti. – BERNAMA