Berita

Sepakat Siap Siaga Depani PRU, Sokong Kekalkan Tengku Adnan Untuk Putrajaya

PUTRAJAYA – Persidangan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Putrajaya yang telah selesai melaksanakan tanggungjawab sepakat untuk terus menanam semangat bagi mengukuhkan lagi parti dan mendapatkankan kepercayaan rakyat untuk mendepani Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 kelak.

Melalui mesyuarat yang berlangsung lancar, ketiga-tiga tulang belakang parti ini menegaskan momentum UMNO/Barisan Nasional (BN) perlu ditingkatkan supaya menjelang saat-saat akhir segala perancangan dan pelaksanaan berjalan lancar dan kemenangan terus berpihak kepada BN.

Dalam hasrat ini, persidangan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO juga suarakan kehendak anggota akar umbi untuk mengekalkan Ahli Parlimen tempatan yang juga Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor sebagai calon tunggal di kawasan terbabit pada PRU15 nanti.

Apatah lagi Tengku Adnan memainkan peranan yang sangat besar terhadap kesinambungan hidup masyarakat setempat iaitu bukan hanya ketika UMNO/BN selaku kerajaan tetapi juga dalam keadaan terhimpit dan tertekan termasuk ketika mendepani pandemik COVID-19.

Mesyuarat Wanita Putrajaya yang diketuai oleh Puan Husna Abdul Rahaman turut menekankan tentang peranan Tengku Adnan yang sentiasa membimbing dan membantu dalam memastikan gerak kerja khususnya mendekati pengundi dan masyarakat.

Persidangan Pemuda pula telah dilaksana pagi tadi di Armada Hall Marina, Presint 5 dengan diketuai oleh Dr Tengku Iqbal Munawwir Tengku Adnan dengan kehadiran para pemuda yang sentiasa menjadi jentera dan pemudahcara rakyat, sementara Puteri UMNO Putrajaya diketuai oleh Jumaitul Lalily Zakiah dengan mesyuarat berlangsung di Karyabhara The Lanai, Menara Perkeso Putrajaya. – UMNOPutrajaya