Aktiviti & Komuniti

Wanita, Pemuda, Puteri UMNO Tulang Belakang Parti, Terima Kasih Laksana Persidangan – Tengku Adnan

PUTRAJAYA – Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor merakamkan penghargaan dan berterima kasih kepada anggota akar umbi parti yang telah berjaya melaksanakan persidangan Wanita, Pemuda dan Puteri dengan jayanya.

Katanya, Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO adalah tulang belakang parti yang memainkan peranan penting khususnya dalam hasrat mendepani Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

“Komitmen semua sangat saya hargai dan ucapkan berbanyak terima kasih dan syabas kerana sentiasa menyemarak perjuangan UMNO demi agama, bangsa dan tanah air kita.

“Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO adalah barisan jentera paling hadapan untuk menentukan kekuatan kita dalam memastikan kemenangan UMNO dan Barisan Nasional (BN) pada PRU15 nanti,” katanya.

Dilaporkan, pelaksanaan mesyuarat Cawangan UMNO telah diadakan bermula 15 Ogos hingga 18 September diikuti persidangan serentak Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO pada 7, 8 dan 9 Okt sementara persidangan peringkat bahagian pula pada 14, 15 dan 16 Okt depan. – UMNOPutrajaya