Isu Semasa

Pelantikan Hakim Zaman PH Tak Ikut Prosedur Undang-undang?

Pendedahan laporan Pasukan Petugas Khas Siasatan Ke Atas Dakwaan-dakwaan Dalam Buku Tommy Thomas kepada awam hari ini akhirnya mengesahkan gambaran yang diberikan beberapa minggu lepas semasa kenyataan media dikeluarkan.

Menurut laporan siasatan yang sudah boleh dimuat turun dari laman web Bahagian Undang-undang JPM, Tommy Thomas, iaitu Peguam Negara lantikan era Pakatan Harapan, terbabit dalam pelbagai tindakan meragukan. Tetapi yang paling jelas:

Pelantikan pemegang jawatan tertinggi dalam institusi kehakiman negara pada Julai 2018 adalah individu-individu yang dipersetujui dalam perbincangan sulit antara Tommy Thomas dan Tun Mahathir. Yakni pelantikan untuk Ketua Hakim Negara, Presiden Mahkamah Rayuan, Hakim Besar Mahkamah Tinggi Malaya, Hakim Besar Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak.

Nama-nama tersebut berbeza dari pilihan Suruhanjaya Pelantikan Hakim.

Ini bercanggah dengan peruntukan undang-undang khususnya Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman dimana – seperti ditegaskan dalam m/s 38-40 laporan pasukan khas – seorang Perdana Menteri tidak mempunyai kuasa untuk memilih calon Hakim untuk mahkamah-mahkamah seperti diatas. Sebaliknya, sebarang nama yang dipersembahkan kepada SPB Yang DiPertuan Agong hendaklah berasaskan cadangan dari Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman. PM boleh mohon untuk beberapa nama lain untuk sesuatu kekosongan, tetapi hendaklah dari kalangan senarai itu. Bukan pilihan sendiri bersama Peguam Negara.

Selain itu, laporan pasukan khas turut menegaskan, Peguam Negara bukan ahli Suruhanjaya maka tidak mempunyai apa-apa kuasa untuk mencadangkan mana-mana nama kepada Perdana Menteri.

Ini bukan persoalan integriti mana-mana hakim yang dilantik pada 2018, jauh sekali mempersoal keabsahan pelantikan oleh YDPA.

Tetapi Pakatan Harapan menang pada PRU14 antara lain dengan laungan dan slogan menambahbaik tadbir urus. Mengurangkan kebarangkalian salah guna kuasa, campurtangan dalam kehakiman dan sebagainya. Hari ini terbongkar satu lagi kegagalan dan penipuan PH.

Terang, terang, satu prosedur dan undang-undang yang dibuat zaman Pak Lah untuk memperkasa sistem kehakiman dan memperkuat pemisahan kuasa antara cabang eksekutif dan kehakiman, telah dikesampingkan dengan sewenang-wenangnya.

Hari ini menjelang PRU15 mereka menjaja slogan serupa. Konon mereka bersih. Lebih reformis. Lebih ikhlas. Lebih ‘rakyat’. Mereka tuduh UMNO hendak menang sebab mahu campurtangan kes mahkamah. Mahu percaya lagikah?

Atau lebih mahu percaya laungan pemimpin mereka yang secara gah berkata dalam ceramah, “kami akan sumbat kamu dalam penjara lepas menang”.

Ini bukan mirip perjuangan untuk rakyat. Ini perjuangan politik dendam. Mereka benci segala yang berkait dengan UMNO, dengan BN. Mereka mengajak rakyat turut sama benci. Tapi bukannya untuk rakyat. Untuk kepuasan hati dan nafsu mereka.

#KestabilanDanKemakmuran
#SambungYangTergendala

SHAHRIL HAMDAN
Ketua Penerangan UMNO Malaysia