Berita

Macam-macam Lagi Fitnah Akan Keluar… Tapi Rakyat Boleh Menilai – Tengku Adnan

PUTRAJAYA, 12 Nov – “Kita tunggu saja fitnah-fitnah mereka tapi saya berkeyakinan bahawa rakyat matang, rakyat tahu dan rakyat boleh menilai.”

Demikian jelas calon Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berikutan dakwaan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengatakan ada anggota tentera khususnya dalam kawasan parlimen Bera di Pahang sudah mengundi untuk PRU kali ini malah dibayar RM300 untuk berbuat demikian.

“Dia orang ni macam-macam tomahan, macam-macam fitnah, kita tunggulah mula dari hari Isnin… besok minggu macam-macam fitnah akan keluar lagi,” katanya.

Dalam hal ini beliau mengingatkan rakyat agar tidak lupa berkaitan janji-janji pihak lawan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 lalu.

“Yang penting kita nak bagi tahu rakyat… masihkah kau ingat selepas pilihan raya ke-14 apa berlaku? Janji PTPTN tak tunai, janji harga minyak turun tapi semua tak tunai… jadi ingat itu semualah.

“Marilah kita sama-sama mengundi untuk kestabilan dan kemakmuran kerana itu yang paling penting,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menyantuni komuniti Putrajaya dalam Program Semarak Uniti Keluarga Malaysia di Anjung Floria di sini hari ini.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri yang juga calon BN Parlimen Bera telah menafikan hal terbabit malah menganggap ia satu tuduhan jahat yang menghina anggota tentera baik di Bera mahu pun di seluruh negara. – UMNO Online