Berita

Pilih Yang Kompetan… Era Baharu Apa Mereka Nak Bawa Sedangkan BN Dah Laksana

PUTRAJAYA, 13 Nov – Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menempelak parti lawan khususnya berkaitan manifesto yang mereka tawarkan sedangkan pelbagai janji yang sebelum ini ditabur tak dilaksana.

Dalam hal ini, beliau mempersoalkan lawannya di Putrajaya dari Parti Perikatan Nasional (PN), Datuk Mohd Radzi Jidin yang menyandang jawatan Menteri Pendidikan lantaran tidak membuat apa-apa perubahan berkaitan tawarannya sedangkan sebelum ini menjawat menteri.

Semalam Radzi telah menggariskan 50 tawaran yang termaktub dalam manifesto dengan tema Era Baharu Putrajaya yang antaranya berkaitan pendidikan iaitu sekurang-kurangnya RM5,000 akan diperuntukkan kepada persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) setahun, perkhidmatan bas sekolah berdaftar secara percuma, bantuan awal kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam dan lain-lain lagi.

Bidas Tengku Adnan, semua cadangan yang dikemukakan telah pun dilaksanakannya.

“Manifesto ini semua saya dah buat… dia nak era baharu apa … semua saya dah buat, saya telah lakukan… sebelum itu lagi saya dah buat….

“Jadi untuk manifesto ini semua kami telah buat… pada saya ‘no issue’ tapi kenapa baru sekarang nak tawar … kenapa dulu tak tawar. Jadi sebagai menteri pendidikan, patut buatlah sesuatu masa saya jadi menteri dulu,” katanya.

Jelasnya pelbagai perkara membabitkan keperluan warga Putrajaya diutamakan sehinggakan penguruan jenazah dan van jenazah pun disedeiakan.

“Saya ada empat van jenazah yang kita dah lakukan bukan hanya untuk penduduk Putrajaya malah saudara mara mereka yang datang sini, kadang kala meninggal di sini kita hantar sampai ke Kelantan, kita hantar sampai ke Perlis, kita hantar sampai ke Johor… tak ada apa masalah… itu semua telah dilakukan,” katanya.

Ujarnya, sebagai menteri lakukanlah sewaktu berjawatan sebagaimana beliau sendiri menjawat Menteri Wilayah Persekutuan yang memperjuangkan isu perumahan rakyat di bandar.

“Saya buat sesuatu, RUMAWIP saya bangunkan, warga saya masih dilindungi dan kekal dalam taman tersebut.

“Kalau di Kepong dia terus balik ke Kepong, bukan kita halau dia macam di Penang, halau semua orang daripada pulau…. Saya dah buat 89,000 unit… telah saya siapkan untuk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Wilayah Persukutuan Labuan.

“Dengan harga RM189,000, itu semua tidak adil terbengkalai, itu yang patut dilakukan sebagai menteri ini … Kita perlukan menteri yang kompetan untuk menerajui kerajaan,” katanya lagi.

Terdahulu Tengku Adnan menyantuni orang ramai dalam program Semarak Uniti Keluarga Malaysia di Anjung Floria di sini.

Parlimen Putrajaya menyaksikan pertembungan enam penjuru antara Tengku Adnan (BN), Datuk Dr Radzi Jidin (PN), Datuk Mohd Rosli Ramli (Pejuang), Dr Noraishah Mydin Abdul Aziz (PH) serta dua calon Bebas iaitu Lim Fice Bee dan Samsudin Mohamad Fauzi. – UMNO Online