PUTRAJAYA 15 NOVEMBER 2022. Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen P125 Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor ketika meninjau proses pengundian awal sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya. NSTP/MOHD FADLI HAMZAH
Aktiviti & Komuniti

1,386 anggota polis, tentera undi awal di Putrajaya

PUTRAJAYA: Seramai 1,386 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta pasangan masing-masing mengundi awal, hari ini.

Dua pusat pengundian awal dibuka masing-masing di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Putrajaya, Presint 9 dan Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (Puspahanas), Presint 1.

Turut hadir melihat proses pengundian awal itu ialah calon-calon P125 Putrajaya iaitu Datuk Mohd. Rosli Ramli (Pejuang), Lim Fice Bee (Bebas), Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor (BN) dan Datuk Dr. Radzi Jidin (PN).

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, perjalanan undi awal di dua pusat pengundian berjalan lancar.

Beliau berkata, kerjasama semua pihak juga dapat melicinkan perjalanan undi awal hari ini.

“Kami juga difahamkan, Pusat Kesihatan Daerah (PKD) menyediakan khemah khusus untuk pesakit Covid-19 dan mereka juga tidak dihalang untuk menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pengundi.

“Bagi mengelakkan kesesakan di pusat undi, kita bahagikan masa bagi setiap bahagian untuk keluar mengundi,” katanya ketika ditemui selepas mengundi di IPD Putrajaya, hari ini.

Katanya, beliau juga mengesahkan seorang pesakit Covid-19 yang juga anggota polis mengundi di IPD Putrajaya.

A Asmadi berkata, beliau sudah mengarahkan pengundi berkenaan untuk mengundi pada sebelah petang bagi mengurangkan risiko terhadap pegawai dan kakitangan lain.

Sementara itu, A Asmadi berkata, pihaknya menerima tiga laporan polis berkaitan pelanggaran kempen pilihan raya.

“Salah satu daripadanya adalah kes khianat yang mana kertas siasatan sudah dibuka dan siasatan lanjut kini sedang dijalankan,” katanya. – UTUSAN