PAU 2022 Ditangguhkan Ke 11 Hingga 14 Jan – Ahmad Maslan
KUALA LUMPUR, 5 Dis – Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 yang dijadualkan pada 21 hingga 24 Dis ini, ditangguhkan ke 11 hingga 14 Jan depan, menurut Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan.
Menerusi perkongsian di laman Twitternya, Ahmad berkata penangguhan itu disebabkan tarikh asal PAU 2022 dalam tempoh cuti sekolah.
“Oleh kerana 21 hingga 24 Dis 2022 waktu cuti sekolah dan ramai perwakilan yang ingin bercuti hujung tahun ke merata tempat, maka Perhimpunan Agung UMNO adalah ditangguh. Notis PAU 2022 akan dihantar secara rasmi tidak lama lagi,” katanya.
Sebelum ini, Mesyuarat Khas Majlis Tertinggi (MT) UMNO pada 24 Nov memutuskan PAU 2022 diadakan pada 21 hingga 24 Dis. – BERNAMA