Rencana

Tugas Penting Mengembalikan Maruah Parlimen Malaysia

1. Semalam (19 Dis) menyaksikan keabsahan kerajaan perpaduan Malaysia diuji dan diiktiraf di Parlimen.

Ini bukanlah kali pertama keabsahan Kerajaan diuji melalui undi percaya terhadap Perdana Menteri.

2. Telah ada dua precedent terdahulu yang melaksanakan undi percaya terhadap Perdana Menteri bagi mengabsahkan Kerajaan pimpinannya secara demokratik.
Pertama oleh Tun Hussein Onn pada 1976, dan yang kedua dibuat oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi, pada 2003.

3. Dalam kedua-dua precedent tersebut, tidak pernah dipersoalkan keperluan untuk diadakan undi percaya walaupun lantikan Perdana Menteri telah dilakukan terlebih dahulu oleh Yang Di Pertuan Agong.

Yang peliknya Pengerusi PN mencabar agar usul undi percaya lakukan, akan tetapi berdalih di parlimen.

4. Malah pembangkang tidak berani mengusulkan undi belah bahagi kerana akan memalukan lagi pembangkang yang dahulu mendakwa cukup majoriti untuk jadi Perdana Menteri dan bentuk kerajaan.

5. Tindakan mempersoalkan keperluan untuk mengadakan undi percaya atau mempersendakannya sebagai “political gimick” adalah bertentangan dengan lunas demokrasi Malaysia dan mencerminkan keangkuhan dan sikap pembangkang yang tidak konsisten.

6. Semalam juga menyaksikan perbalahan yang amat merugikan apabila perkara-perkara yang tidak memberi manfaat secara langsung terhadap permasalahan paling mendesak rakyat dibangkit dewan.

Sikap pembangkang ini amat memalukan pengundi mereka sendiri kerana menunjukkan ketidakmatangan. hingar bingar ini dipersembahkan kepada rakyat yang mahukan kematangan politik dan bukan masih bermain dengan retorik dan sentimen.

7. Alangkah sedihnya apabila mereka yang sedang dilanda musibah banjir melihat wakil yang mereka pilih untuk memegang amanah masa depan mereka lebih pedulikan retorik dan sentimen.

Malah hal gosip liar tak ada credential dari luar negara diangkat berbanding daripada memastikan terdapat perlindungan terbaik dari segi nyawa, harta dan emosi mereka.

8. Betapa dukanya apabila mereka yang terkesan oleh kejadian tanah runtuh di batang kali, melihat wakil yang mereka pilih lebih pedulikan penggunaan istilah kerajaan perpaduan atau gabungan daripada memastikan semua mangsa dapat dikenalpasti, diselamatkan dan dibantu sebaik-baiknya.

9. Saya berharap mutu perbahasan dalam sidang dewan yang akan datang lebih berwibawa dan berkualiti tinggi daripada kedua-dua belah.

10. Saya juga berharap pihak pembangkang selepas ini boleh membentuk kabinet bayangannya dan benar-benar berfungsi sebagai pembangkang yang berkesan.

11. Cabaran yang akan kita depani tahun depan tidak harus diperkecilkan.

11a. Pertama, inflasi keseluruhan dijangka kekal tinggi pada 2.8-3.3% (Sumber: Bank Negara Malaysia) menjelang tahun 2023, disebabkan tekanan permintaan dan kos serta perkembangan harga komoditi global akibat konflik ketenteraan di Ukraine dan gangguan berkaitan bekalan yang berlarutan.
Kadar inflasi tinggi ini akan terus menjejaskan kuasa beli dan simpanan rakyat.

11b. Kedua, prospek perniagaan sektor Industri berubah pesimis untuk Suku Tahun Keempat tahun 2022 sehingga Suku Tahun Pertama tahun 2023, dengan imbangan bersih -7.9 peratus. Prospek negatif ini menjunam daripada +14.5 peratus untuk 6 bulan lalu (Sumber: Jabatan Perangkaan Malaysia).
Pada masa yang sama, sentimen dalam sektor Pembinaan kekal negatif bagi Oktober 2022 hingga Mac 2023 dengan imbangan bersih -20.7 peratus berbanding -10.3 peratus 6 bulan lepas.

11c. Ketiga, kemalaran pertumbuhan 3 gergasi ekonomi dunia pada tahun 2023, iaitu US pada 1.0% , China pada 4.4% dan Persekutuan Eropah pada 0.5%. (Sumber: Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

Hal ini akan memberi kesan meluas terhadap sektor perdagangan dan kewangan di seluruh Asia, terutamanya Malaysia sebagai ekonomi terbuka.

12. Maka, semua cabaran ini memerlukan kerjasama padu antara semua pihak berkepentingan. Terutamanya bagi semua yang diberi mandat dan kepercayaan sebagai wakil rakyat.

13. Sebagai Ahli Parlimen yang bertanggungjawab dan penuh amanah, kita perlu kembali membahaskan strategi pertumbuhan yang mapan dan mencari solusi terbaik demi rakyat Malaysia.

Pembangkang perlu conscious mengenai isu pemulihan ekonomi dan pembangunan dan bukannya sekadar bernada sarkastik, picisan, retorikal dan memainkan sentimen bagi berdepan dengan data dan hujah pihak Kerajaan Perpaduan.

14. Kerajaan Perpaduan mempunyai agenda ekonomi yang lebih jelas dan isu rakyat sentiasa mendapat tempat dan kedudukan.
Kita tidak boleh terus membiarkan negara kita dilanda ombak ketidakstabilan politik.

15. Buktinya, Nilai Ringgit yang semakin mengukuh setelah kerajaan baru dibentuk memberi gambaran jelas betapa kestabilan politik merupakan perkara paling asas dalam membina ekonomi yang lebih baik.

16. Malah agensi penarafan kredit fitch solutions yang menurunkan taraf kredit kredit Malaysia daripada A- kepada BBB+ pada tahun 2020 secara khusus menyatakan ketidakstabilan politik sebagai sebab penting penurunan taraf berkenaan.

17. Oleh itu, usahlah menggugat kestabilan politik negara. Kelak yang rugi adalah kita semua.

18. Ikhtiar membina semula negara ini dan mencapai potensi ekonominya yang terbaik bermula daripada Parlimen yang lebih bermaruah.

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi
Timbalan Perdana Menteri
Presiden UMNO