Aktiviti & KomunitiBerita

Tengku Adnan Kekal Jawatan Ketua UMNO Bahagian Putrajaya Tanpa Bertanding

PUTRAJAYA – Bendahari UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mempertahankan jawatan Ketua UMNO Bahagian Putrajaya selepas menang tanpa bertanding dalam pemilihan parti itu bagi sesi 2023/2026.

Tengku Adnan yang lebih dikenali sebagai ‘Ketua Kampung’ Putrajaya mengekalkan jawatan tersebut yang disandangnya sejak 2001 selepas menjadi calon tunggal mengemukakan permohonan untuk jawatan itu apabila pencalonan ditutup kelmarin.

Untuk jawatan Timbalan Ketua UMNO Bahagian pula, Datuk Ahmad Faisal Abdul Karim yang sebelum ini menjawat Naib Ketua UMNO Bahagian Putrajaya juga tiada pertandingan.

Begitu juga dengan jawatan Ketua Wanita UMNO Bahagian Putrajaya yang kekal disandang Puan Husna Abdul Rahaman apabila menjadi calon tunggal bagi jawatan terbabit.

Turut sama mengekalkan jawatan tanpa dicabar ialah Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Putrajaya, Dr Tengku Iqbal Munawwir.

Bagi jawatan Ketua Puteri UMNO Bahagian Putrajaya, Saudari Siti Salwa Shokri telah menjawat jawatan terbabit tanpa pertandingan.

Bagi jawatan-jawatan lain, berlaku pertandingan yang bakal dapat diketahui kelak apabila proses pemilihan lengkap dilaksanakan.

Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian bersama Pemilihan Exco Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Pusat bakal diadakan serentak di seluruh negara pada 11 Mac ini.
Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa UMNO Bahagian bersama pemilihan Ahli Majlis Tertinggi UMNO pula diadakan serentak di seluruh negara pada 18 Mac. – UMNOPutrajaya