Berita

Perbetul Semula Konsep ‘Park N Ride’ Putrajaya

PUTRAJAYA: Kerajaan diminta membetulkan semula konsep ‘Park N Ride’ untuk dibina di luar Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan agar lebih mencapai tujuan kemudahan itu bagi manfaat penguna.

Ahli Dewan Negara, Datuk Mohd. Hisamudin Yahaya berkata, kegagalan konsep meletak kereta dan menggunakan perkhidmatan awam adalah disebabkan lokasi kemudahan itu terletak dalam Putrajaya itu sendiri, iaitu Putrajaya Sentral dan Presint 14.

Sedangkan, katanya, konsep Park N Ride sepatutnya memberi kemudahan kepada pengguna di tempat parkir yang terletak di luar kota atau pinggiran kota, kemudian menaiki pengangkutan awam seperti LRT, MRT atau bas penyambungan ke pusat bandar.

“Faktor inilah yang menyebabkan Park N Ride di Putrajaya gagal mendapat sambutan sekali gus tidak dapat menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas di sini.

“Maka, saya mencadangkan kerajaan membetulkan konsep Park N Ride ini dengan memberikan peruntukan membina kemudahan itu di kawasan Dengkil atau Kampung Dato’ Abu Bakar Baginda agar ia dapat memanfaatkan pengunjung yang hendak memasuki pusat pentadbiran kerajaan dengan kemudahan pengangkutan awam,” katanya ketika sesi perbahasan di Dewan Negara, hari ini.

Dalam pada itu, Hisamudin yang juga Ahli Eksekutif Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berkata, badan itu masih memerlukan dana sokongan RM10 juta setiap tahun daripada Kementerian Belia dan Sukan atau Kementerian Kewangan, sebagai dana tambahan dalam pembangunan sukan bola sepak negara.

Apatah lagi katanya, pasukan kebangsaan Harimau Malaya pada tahun ini berjaya layak secara merit ke Piala Asia yang bakal berlangsung di Qatar pada tahun 2024 dan dana ini amat penting bagi memastikan pasukan kebangsaan kita mampu berdaya saing di peringkat Asia.

Pada masa sama, beliau turut mahu kerajaan mendedahkan status pembinaan Pusat Latihan Kebangsaan di Putrajaya kerana pusat ini sangat penting kepada FAM untuk menjalankan latihan-latihan untuk pasukan kebangsaan. – UTUSAN