Berita

‘Airport Tax’ Perlu Dikembalikan, Datuk Hisamudin Angkat Persoalan Di Dewan Negara

KUALA LUMPUR, 4 April – Naib Ketua UMNO Bahagian Putrajaya yang juga Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Hisamudin Yahaya membangkitkan persoalan berkaitan ‘airport tax’ yang perlu dikembalikan kepada pelanggan apabila tiket penerbangan yang ditempah dibatalkan.

Beliau mengangkat persoalan terbabit dalam sesi perbahasan di Dewan Negara, semalam berikutan terdapat pelbagai persoalan yang berlegar membabitkan hal tersebut.

Dalam hal ini, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke menjelaskan bahawa airport tax atau Passenger Services Charges (PSC) boleh dituntut dan perlu dipulangkan semuala apabila penerbangan yang ditempah dibatalkan.

“PSC bukanlah cukai yang dikutip oleh kerajaan, ia adalah caj perkhidmatan yang dikenakan oleh lapangan terbang dan PSC itu dibayar kepada pihak MAHB, hanya dikenakan untuk penerbangan-penerbangan antarabangsa dan domestik.

“Sekiranya ada penerbangan dibatalkan jadi sudah tentu ia boleh dikembalikan kepada pelanggan. Maka ia sepatutnya dibayar balik yang datang dari pihak penerbangan dan sekiranya penumpang itu tidak mendapat ‘refund’ itu maka boleh membuat aduan,” katanya.

Persidangan Dewan Negara bagi Penggal Kedua Mesyuarat Pertama Parlimen ke-15 yang ditambah dua hari lagi akan tamat pada 11 April ini. – UMNOPutrajaya