Berita

Wanita, Pemuda, Puteri UMNO Putrajaya Angkat Sumpah… Teruskan ‘Bersatu, Bersetia, Berkhidmat’

PUTRAJAYA – Barisan kepimpinan Ahli Jawatankuasa Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Putrajaya telah melafazkan ikrar sumpah jawatan dan taat setia bagi sesi baharu iaitu 2023-2026 selepas melalui proses pemilihan pada 11 Mac lalu.

Sehubungan itu, Ketua Bahagian Putrajaya, Datuk Seri Dr Tengku Adnan Tengku Mansor mengucapkan syabas dan tahniah kepada barisan pemimpin yang bakal menjadi tulang belakang kepada kekuatan UMNO Bahagian Putrajaya.

Justeru, beliau berharap agar anggota kepimpinan yang dibarisi muka-muka lama dan baharu akan dapat menggembling tenaga dan berganding bahu untuk tekad mengembalikan UMNO sebagai parti politik unggul demi agama, bangsa dan negara.

“Inilah barisan kepimpinan yang akan menggempur rakyat khususnya para pengundi di Putrajaya.

“Saya berharap agar mereka ini akan dapat menumpukan kepada amanah yang terpikul setelah UMNO melalui pelbagai cabaran termasuklah Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu dan kemudiannya pemilihan UMNO.

“Selamat menunaikan amanah dan bekerjalah dengan ikhlas demi meneruskan kesinambungan perjuangan agama, bangsa dan negara,” katanya lagi.

Lafaz ikrar dan sumpah setia tersebut dibuat oleh anggota sayap masing-masing dalam mesyuarat berasingan yang diadakan di Pejabat UMNO Bahagian Putrajaya, Presint 15. – UMNOPutrajaya