BeritaRencana

Pertahan Kesepaduan UMNO, Hormati Istitusi Presiden & Pelihara Organisasi Parti

Ahli-ahli UMNO termasuk para pemimpin dan keseluruhan anggota parti perlu terus sepakat dan fokus kepada hala tuju untuk memperkukuh parti.

Sehubungan itu saya menyeru agar anggota parti khususnya kepimpinan baharu menyemai semangat perpaduan dengan memelihara institusi Presiden dan organisasi parti.

Dalam keadaan UMNO sepakat untuk bangkit kembali selepas melalui ujian getir Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 dan juga pasca-pemilihan parti maka sewajarnya apa-apa yang negatif tidak wajar diangkat kembali.

Selama ini pun dalam UMNO tidak ada mana-mana individu yang mendabik dada atau mengaku UMNO milik peribadi waima Presiden parti kerana semua akur & arif bahawa institusi Presiden dihormati sebagai tampuk kepimpinan yang memegang amanah memastikan parti ini terus bersemarak dalam perjuangan. Pemimpin atasan khususnya Presiden tentunya telah menimbang dan meneliti setiap apa yg berlaku dengan mengambil kira keputusan yang dibuat bukan secara semberono sebaliknya atas kelestarian holistik dan kesinambungan perjuangan.

Sesungguhnya ketahuilah bahawa tuduhan dan dakwaan ‘kluster’ itu ini diwujudkan oleh pihak lawan maka janganlah pula ada antara kita yang terikut-ikut dengan tingkah sedemikian sebaliknya adalah amat wajar sekiranya semua anggota parti sepakat menolak spekulasi, manipulasi dan persepsi berkaitan kepimpinan UMNO.

Adalah menjadi tugas kita untuk sama-sama meneruskan tekad menolak tuduhan yang sengaja diwujudkan sebagaimana pelbagai dakwaan terpilih sebelum ini. Kita bangkitlah bersama-sama atas semangat ‘Bersatu, Bersetia, Berkhidmat’ demi agama, bangsa dan negara.


TENGKU ADNAN BIN TENGKU MANSOR
Bendahari UMNO