Berita

Program Kacau Bubur Lambuk Semarakkan Perpaduan, Syabas & Tahniah Penganjur – Tengku Adnan

PUTRAJAYA – Hari ini pekarangan Blok C3 Empire, Presint 15 meriah dan menjadi tumpuan orang ramai khususnya para penduduk setempat yang bergotong-royong bersama-sama memasak bubur lambuk.

Program Kacau Bubur Lambuk yang dianjurkan oleh KRT P15- 12B, Blok C3 Empire & UMNO Cawangan Camelia P15 turut disertai Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Seri Dr Tengku Adnan Tengku Mansor yang menyantuni para penduduk setempat.

Orang ramai khususnya penduduk tempatan begitu teruja menjayakan program tersebut dalam hasrat mengimarahkan Ramadan dan menjalin hubungan silaturrahim.

Dr Tengku Adnan yang bersama-sama memeriahkan program tersebut amat genbira dengan penglibatan orang ramai.

Katanya, ini kerana program sedemikian dapat menyuntik semangat kekeluargaan yang sememangnya menjadi amalan dalam warga Putrajaya.

“Alhamdulillah, syabas dan tahniah kepada penganjur dan penduduk di sini yang telah bertungkus-lumus bagi menjayakan Program Kacau Bubur Lambuk. Tentunya acara sedemikian amat bermakna dalam kita mengimarahkan Ramadan setelah dua tahun sebelum ini kita banyak terbelenggu ekoran COVID-19.

“Sememangnya acara sedemikian amat bermakna kerana ia akan dapat menyunti semangat kerjasama dan memperkukuh silaturrahim serta menyemarakkan perpaduan. Moga amalan baik yang kita laksanakan ini akan diberkati Allah SWT dan dapat terus mempertingkat amalan kita kepada-Nya,” katanya.

Program tersebut diakhiri dengan agihan bubur lambuk kepada penduduk setempat. – UMNOPutrajaya