Berita

UMNO Tak Pernah Tinggalkan Asas Perjuangan Demi Agama, Bangsa Dan Negara – Presiden

KUALA LUMPUR, 11 Mei – UMNO tidak pernah meninggalkan asas dan agenda perjuangan parti itu demi agama Islam, bangsa Melayu dan kepentingan negara, tegas Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid.

Ini ekoran katanya yang juga Timbalan Perdana Menteri, ada parti pembangkang yang menuduh Kerajaan Perpaduan yang turut dinaungi UMNO kononnya menyebabkan orang Melayu dan agama Islam tergugat.

“Apabila kita berada di dalam kerajaan sekarang ini, kita tidak pernah meninggalkan perjuangan untuk mensyumulkan Islam berasaskan kepada akar tunjang kita sebagai orang Melayu, tidak pernah meninggalkan pun malah terus memperkasa, memperkukuh perjuangan Melayu, Islam.

“Tanpa kita meninggalkan kemajmukan di negara ini. Sunatullah telah menentukan bahawa Malaysia adalah sebuah negara majmuk. Adakah dengan kemajmukan ini yang kita turut gendong maka kita akan meninggalkan akar umbi kita sebagai orang Melayu/Islam dengan menyantuni kemajmukan.

“Hakikat dan realitinya Melayu dan Islam di negara ini mengikut demografinya berada di dalam 70 peratus. Yang penting bukan peratusan dan jumlah yang tinggi, paling penting penyatuan hati di kalangan orang Islam dan Melayu tanpa mengetepikan bangsa dan agama lain. Ini realiti, hakikat…bukan hanya dengan rasa asobiyah, yang dulunya mereka juga yang memperjuangkan kemajmukan kini mereka memperjuangkan kononnya kita meninggalkan Melayu, Islam sebagai agenda,” jelasnya lagi.

Ahmad Zahid berkata demikian dalam ucapannya di Majlis Sambutan Ulang Tahun UMNO ke-77 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL), di sini malam ini.

Terdahulu Ahmad Zahid, barisan kepimpinan dan pendukung parti menunaikan solat Maghrib berjemaah, bacaan Yasin dan tahlil di Surau Arrahman WTC KL.

Tambah Ahmad Zahid lagi, semua harus mengakui hakikat di dalam Perlembagaan negara bahawa agama Islam tetap kekal dan utuh tanpa mengetepikan agama lain dan begitu juga dengan Perlembagaan UMNO.

Malah sinisnya, ada parti yang kononnya mahu mereka sendiri hapuskan jika UMNO mengubah Perlembagaan dengan meletakkan Islam sebagai tunggak utama tetapi ia tidak berlaku.

“Ada yang mengatakan jika Perlembagaan UMNO ditukar dengan meletakkan Islam sebagai tunggak utama maka parti itu akan dihapuskan, akan dibatalkan.

“Hakikatnya apabila kita telah mengubah Perlembagaan, parti itu masih wujud, masih terus memfitnah kita, masih terus menghina kita,” bidasnya.

Begitu juga katanya bagaimana usaha UMNO dalam penyatuan ummah tetapi telah dikesampingkan oleh parti itu setelah mereka memperolehi rakan baharu.

“Kita telah cuba mahu mewujudkan penyatuan ummah atas nama piagam, atas nama Muafakat Nasional tetapi parti itu apabila dengan siapapun ia bersekongkol pasti parti itu akan ditendang dan diterajangnya termasuk kita.

“Saya yakin parti yang menyertai gabungan parti itu sekarang apabila kekocakan mula berlaku saya fikir tidak lama, gabungan itu akan pecah dan rakan kongsinya akan ditendang,” tegasnya. – UMNO ONLINE