Isu Semasa

Demi Masa Depan Lebih Baik, Bawa Semangat Perjuangan

LAMA tak menulis tentang politik.

Ramadhan dan Syawal sudah melabuhkan tirai.

1. Saya ditanya semalam apa pandangan saya tentang UMNO bekerjasama dengan Dap.

2. Saya jawab ianya berkaitan kerjasama politik. Dan sebenarnya apabila UMNO bekerjasama dengan Dap dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH) / Barisan Nasional (BN) maka ianya adalah kemuncak akhir dari segi kerjasama parti-parti politik.

3. Ini kerana yang belum pernah bersama dan bekerjasama dalam gabungan kerajaan dengan Dap adalah UMNO.

4. Pas pernah bergabung dan bekerjasama dengan Dap lebih kurang selama 15 Tahun membawa Dap ke Kerajaan Negeri Selangor, Perak dan Kedah.

5. Bersatu pula bersama Dap dalam gabungan PH lebih kurang tiga tahun dan membawa Dap ke Kerajaan Persekutuan dan menjawat jawatan-jawatan penting termasuk Menteri Kewangan lantikan Perdana Menteri (PM) daripada Bersatu.

6. Maka isu atau polemik penggabungan atau kerjasama parti-parti politik dengan Dap atau mana-mana parti bukan lagi isu yang wajar dimainkan atau dibicarakan oleh Pas dan Bersatu tentunya Perikatan Nasional (PN) dan penyokongnya.

7. Banyak video kenyataan-kenyataan pimpinan tertinggi Pas dan Bersatu sebelum ini menjustifikasikan kerjasama dengan Dap termasuk meminta ahli mereka menyokong dan mengundi calon-calon Dap semasa Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), PRU-13, PRU-12, PRU-11, PRU-10 dan Pilihan Raya Kecil (PRK).

8. Ya, memang UMNO sebelum ini menolak kerjasama dengan Dap begitu juga sebaliknya. Malah Pas juga dulu menolak kerjasama dengan Dap dengan pelbagai hujah namun akhirnya bekerjasama. Hakikatnya semua sama. Seri dalamm kerjasama politik.

9. Realitinya kerjasama politik ini berlaku mengikut kepentingan parti masing-masing… tidak mustahil di masa hadapan ada kerjasama politik yang berbeza dan lain pula. Politik itu dinamik atau senang cerita ikut kepentingan.

10. Dinamika politik berubah-ubah dan setakat ini kestabilan politik masih belum kukuh seperti zaman BN memerintah negara. Sudah lima tahun ekonomi negara terjejas teruk akibat ketidakstabilan politik.

Halatuju

11. Bagi saya apa yg lebih penting untuk diperkatakan adalah bagaimana untuk bergerak ke depan… ke tahap lebih atas iaitu nak menjayakan kerjasama parti-parti politik yang membentuk kerajaan semasa.

12. Hentikan bicara kenapa dan mengapa perlu bekerjasama. Ianya sudah menjadi akademik.

13. Kerana kestabilan dan kelancaran kerjasama gabungan parti-parti politik dalam kerajaan akan menentukan sejauhmana stabil dan lancarnya kerajaan ini berfungsi menjayakan segala perancangan dan dasar yang digariskan. Dalam masa yang sama membaiki kerosakan dan kelemahan yang wujud.

14. Sudah-sudahlah berpolemik tetapi inilah masa memberikan yang terbaik untuk negara.

15. Saya sangat-sangat merindui zaman kegemilangan dan kecemerlangan Malaysia di bawah BN yang stabil dan kukuh. Banyak pencapaian yang membanggakan.

16. Zaman indeks bursa berada di kemuncak… zaman kekuatan ekonomi negara… zaman keyakinan pelabur kepada negara begitu tinggi… perpaduan rakyat yang erat… kestabilan politik dan pelbagai lagi perkara positif yang ada.

17. Namun saya tidak mahu lagi bernostalgia… ini masanya kita bergerak ke depan… maju dan progesif bersama mendepani cabaran yang negara hadapi.

18. Jom bawa semangat dan roh perjuangan UMNO/BN dalam kerajaan Madani ini… gunakanlah segala pengalaman dan kekuatan yang ada bagi mengembalikan zaman kegemilangan negara.

Demi masa depan rakyat yang lebih baik. Demi masa depan kita bersama.

Datuk Adnan Seman