Berita

Jangan Kelirukan Rakyat, Waspada Tingkah Burukkan UMNO – Tengku Adnan

KUALA LUMPUR, 25 Mei – Bendahari UMNO, Datuk Seri Dr Tengku Adnan Tengku Mansor mengingatkan ahli-ahli UMNO untuk sentiasa waspada dengan tingkah pihak lawan yang sentiasa cuba memburuk-burukkan parti dengan menggunakan pelbagai manipulasi dan persepsi negatif.

Katanya, sekarang ini pihak lawan bukan hanya mahu memburuk-burukkan ahli UMNO malah mereka juga cuba untuk mengelirukan rakyat dengan macam-macam perkara termasuklah manipulasi berkaitan agenda perjuangan.

Dalam hal ini, Tengku Adnan memberikan contoh bagaimana manipulasi hiasan dalam Dewan Merdeka sengaja diperbesarkan yang kononnya UMNO sengaja membuang gambar-gambar Presiden-presiden UMNO.

“Ini semua adalah tindakan nak kelirukan rakyat, nak buruk-burukkan UMNO kononnya UMNO ini jahat sedangkan realitinya mereka yang seperti kacang lupakan kulit, lupa asal usul dan lupa nilai perjuangan dengan hanya tahu memburukkan orang.

“Berkaitan Dewan Merdeka sebagaimana yang tular, itu semua tak betul kerana dalam dewan tersebut tak ada hiasan kekal malah baru-baru ini saya sendiri menggunakan dewan tersebut untuk resepsi perkahwinan anak saya yang mana dewan itu ditukar macam dalam taman.

“Dewan Merdeka ini dah puluhan tahun digunakan untuk macam-macam acara, dari tilawah al-Quran, konsert, juara lagu, anugerah hinggakan majlis konvokesyen pelbagai universiti maka hiasannya disesuaikan dengan acara yang ada termasuklah gambar-gambar Presiden yang hanya digantung dalam dewan semasa Perhimpunan Agung UMNO,” katanya kepada UMNO Online.

Jelas beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, hal ini tidak bermakna gambar-gambar Presiden UMNO langsung tiada sebaliknya paparan kekal ada di laluan anjung Merdeka di aras 4.

“Di situ gambar lukisan semua Presiden UMNO dari yang pertama hinggalah terkini ada dan tak pernah dibuang sekalipun ada antaranya yang telah keluar dari parti dan memburukkan UMNO.”
Sehubungan itu, beliau menggesa semua pihak untuk berfikiran rasional dan tidak mengambil bulat-bulat semua paparan yang ada dalam media sosial.

“Kita tahu masyarakat hari ini banyak bergantung kepada aplikasi media sosial tapi perlu hati-hati dan tapis dahulu segala yang diterima kerana bukan semuanya betul apatah lagi jika ada pihak yang sengaja mahu memburuk-burukkan UMNO seperti mana yang dah berlaku,” katanya lagi. – UMNO Online