Berita

Manifestasikan PAU2023 Ke Arah Masa Depan Lebih Baik – Tengku Adnan

KUALA LUMPUR, 6 Jun – Perhimpunan Agung UMNO 2023 yang bakal diadakan selama empat hari bermula esok tentunya berbeza dengan persidangan-persidangan lalu lantaran landskap politik hari ini yang telah berubah.

Bendahari UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menganggap Perhimpunan Agung UMNO kali ini adalah ruang terbaik bagi mengembalikan manifestasi perjuangan UMNO dalam usaha utk terus kukuh dan mendepani pelbagai cabaran masa hadapan.

Katanya, melalui persidangan ini, kepimpinan UMNO pelbagai peringkat berkumpul, berbahas, mendengar hujah dan intipati suara dari akar umbi lantas bersama-sama bangkit menyemarakkan perjuangan apabila kelak kembali ke tempat masing-masing.

“Inilah hari untuk kita mengembalikan perjuangan yang bersemarak, kembalikan kegemilangan UMNO sebagai satu-satunya harapan bangsa malah menjadi tempat bergantung rakyat seluruh negara sebagaimana suatu waktu dulu.

“Benar usia UMNO sudah melepasi 77 tahun, ada perjalanan sejarah yang panjang mendepani pelbagai cabaran maka kita perlu teruskan perjuangan ini atas relevannya ‘Bersatu, Bersetia, Berkhidmat’ demi agama, bangsa dan negara,” katanya.

Ujar beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, biarpun UMNO hari ini tidak lagi memegang tampuk pentadbiran kerajaan sepenuhnya namun tidak dapat dinafikan bahawa peranan dan kepimpinan perjuangan UMNO masih ditagih oleh rakyat.

“Kita telah bersama-sama mengharungi pahit getir yang menguji kekuatan dan kerukunan kita dalam satu organisasi, secara tidak langsung menjadi satu kesatuan kepada parti kita untuk terus maju ke hadapan dan meneruskan perjuangan.
“Sedarlah, segala cabaran yang timbul, baik dari luar mahupun dari dalam parti sendiri ia memerlukan perpaduan dari semua anggota UMNO untuk terus bekerjasama, memperkukuh kekuatan dan melihat masa hadapan bersandarkan generasi hari ini.”

Justeru tegasnya, untuk para perwakilan dalam PAU2023, jadikanlah persidangan sebagai penguat kembali semangat lantas berusaha sebaik mungkin untuk UMNO cemerlang khususnya dalam pilihan raya negeri akan datang.

PAU 2023 akan diadakan pada 7 hingga 10 Jun. Terdahulu pada PAU lalu menyaksikan penganjuran PAU Khas bagi meminda dua Perlembagaan UMNO.

Ianya membabitkan Rang Undang-Undang Akta Anti Lompat Parti dan pertambahan perwakilan secara automatik melibatkan Ketua Penerangan Bahagian UMNO dan tiga sayap peringkat bahagian seluruh negara. – UMNO Online