Salam Aidiladha, Hayati Pengorbanan Untuk Diaplikasi Dalam Kehidupan – Tengku Adnan
KUALA LUMPUR, 28 Jun – Bendahari UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor bersama isteri, Datin Seri Angraini Sentiyaki mengucapkan selamat menyambut Hari Raya Aidiladha yang akan disambut esok kepada semua khususnya yang beragama Islam.
Beliau berharap agar warga tempatan yang pulang ke kampung halaman agar memandu secara berhati-hati selain mendoakan keselamatan mereka semua supaya selamat tiba di destinasi.
“Bertepatan dengan nama Aidiladha atau hari raya korban maka sama-samalah kita terapkan semangat pengorbanan demi mencari redha Allah dan meninggikan syiar Islam.
“Marilah kita sambut dengan penuh keinsafan, pengorbanan, kebersamaan dan kesyukuran atas segala rahmat dan limpah kurnia yang Allah SWT telah berikan pada kita.”
Pada kesempatan ini, beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Putrajaya turut sama-sama mengajak semua untuk mendoakan buat mereka yang berada di Tanah Suci agar selamat mengerjakan ibadah haji dan semoga mendapat Haji yang mabrur.
“Manakala kepada yang berada di tanah air, marilah kita hiasi hari raya ini dengan takbir dan tahmid, sama-sama melaksanakan solat Aidiladha serta melakukan ibadah korban. Semoga segala ibadah kita ini diterima oleh Allah SWT serta meneguhkan lagi takwa kita,” katanya. – UMNOPutrajaya