Fahami Politik Kini, UMNO/BN Bukan Parti Dominan Namun Terus Pejuang Agama, Bangsa, Negara – Tengku Adnan
PUTRAJAYA – Ketua UMNO Bahagian Bahagian Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor meminta anggota parti agar memahami suasana politik terkini dan peranan UMNO/Barisan Nasional (BN) dalam Kerajaan Perpaduan.
Katanya, suasana politik negara berubah dan mula kucar-kacir bermula pada tahun 2018 apabila kerajaan beralih.
“Sekarang ini macam-macam dah berlaku dalam negara kita, kucar-kacir… bermula dari 2018 sehingga pilihan raya yang baru-baru ini ada empat Perdana Menteri bertukar ganti.
“Sekarang kita iaitu UMNO/BN bukan lagi sebuah parti yang dominan dalam kerajaan jadi kita tidak boleh suarakan sepenuhnya apa yang kita mahukan keseluruhannya namun kita tetap teguh pada perjuangan demi pertahankan agama, bangsa dan negara kita,” katanya.
Dalam hal ini beliau mengakui bahawa masih ada yang keliru apabila UMNO/BN bekerjasama membentuk Kerajaan Perpaduan.
“Memang ada yang masih keliru lantaran suatu ketika dulu kita suarakan ‘no Dap, no Anwar, no PKR’ tapi sekarang kita bersama mereka… ini bila kita fikirkan untuk masa depan bangsa kita maka kita anggap apa yang kita lakukan adalah mudarat kecil.
“Perjuangan kita dalam UMNO tetap teguh iaitu kita akan pastikan Perlembagaan di negara ini tidak diganggu gugat, bahasa kita terpelihara dan agama kita juga tidak diganggu gugat,” katanya.
Beliau yang juga Bendahari UMNO berkata demikian dalam ucapan ketika menghadiri Program Kenduri Komuniti MPPSZ2 bersempena Hari Raya Aidiladha di Surau Al-Insanniah, Presint 9, hari ini.
Dalam masa yang sama Tengku Adnan mengingatkan bahawa penekanan terhadap pegangan agama Islam mesti terus teguh dan menjadi sebahagian dari perjuangan parti.
“Kita dilahirkan Islam kerana baka kita Islam, kita nak jadi pejuang Islam. Umat Islam ramai yang ditindas di seluruh dunia namun di Malaysia ini kita bersyukur kepada Allah SWT bahawa agama kita dipelihara dan termaktub
dalam Perlembagaan.
“Biarpun macam-macam berlaku yang ditimbulkan oleh puak-puak yang tertentu, mereka gunakan agama namun saya minta kepada semua iaitu dua perkara yang mesti kita ingat, Islam kita mesti ikut sunnah dari Nabi Muhammad SAW dan juga al-Quran sebagai panduan.
“Kalau kita berpegang kuat kepada ajaran Islam, solat lima waktu maka insya-Allah kita tidak akan di ganggu gugat,” katanya lagi.
Terdahulu beliau bersama isteri, Datin Seri Angraini Sentiyaki memeriahkan program sambutan Aidiladha di sini dan menyantuni para penduduk setempat. – UMNOPutrajaya
You must be logged in to post a comment.