Berita

Undilah Kerajaan Perpaduan Demi Teruskan Kestabilan dan Kemakmuran – Tengku Adnan

KUALA LUMPUR, 11 Ogos – Bendahari UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menyeru rakyat khususnya para pengundi di enam negeri terlibat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Kedah, Pulau Pinang, Kelantan dan Terengganu untuk mengundi calon-calon yang bakal menegakkan Kerajaan Perpaduan di peringkat negeri.

Ini penting katanya agar kestabilan dan kemakmuran sebagaimana yang dilaksanakan di peringkat Pusat dapat juga dialirkan kepada negeri-negeri terlibat apabila pentadbiran selari.

“Soal mengundi, pilih pemimpin, tentukan wakil rakyat adalah perkara yang serius dan mesti diambil berat khususnya para pengundi kerana ia akan memberikan kesan kepada kehidupan dan perancangan masa hadapan secara holistik,” katanya kepada UMNO Online.

Jelas beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, kerajaan yang stabil amat penting dalam pembangunan dan kemajuan negara malah pelbagai perkara yang berlaku beberapa tahun kebelakangan ini mampu menjadi tauladan kepada pengundi.

“Sejak 2018 apabila kerajaan berubah berlaku pelbagai krisis politik yang menyumbang kepada kestidaksabilan hinggakan ekonomi merudum dan pembangunan terbantut malah negara kita mundur ke belakang berbanding negara-negara luar.

“Natijahnya rakyat yang mendapat susah, kehilangan pekerjaan, kos sara hidup meningkat, tiada pendapatan dan macam-macam lagi masalah sosial yang terhasil daripada kekacauan politik dan ketidakstabilan dalam pentadbiran negara.

“Tentunya kita tak mahu perkara tersebut berlaku apatah lagi selepas PRU-15 terbukti Kerajaan Perpaduan yang terbina dapat mengembalikan kestabilan dan rakyat keluar dari rasa gelisah iaitu ramai yang kembali bekerja dan kehidupan semakin baik.”

Apa yang penting kata Tengku Adnan adalah mengundi dengan berdasarkan kepada realiti kehidupan semasa iaitu menolak apa-apa yang tidak pasti termasuklah janji syurga neraka segelintir pihak termasuk dakwaan perundangan misalnya perubahan kerajaan dan sebagainya.

“Kita berpijaklah di bumi nyata, berfikirlah secara matang dan mengundilah atas realiti sebenar yang kita hadapi. Jangan terpengaruh dengan tohmahan dan pelbagai perkara yang tidak pasti.

“PRN ini untuk pembentukan kerajaan negeri maka pastikan ia selari dengan Kerajaan Pusat agar mudah saluran pentadbiran dilaksana terus, PRN tidak ada kena mengena dengan perubahan Kerajaan Pusat malah lompat parti pun menyalahi undang-undang jadi mana mungkin boleh dilakukan.

“Maka cukuplah sekali tertipu dengan agenda atau manifesto yang jadi gula-gula pihak sebelah sana malah apabila soal agama diangkat ia sebenarnya merendahkan nilai mereka sedangkan bagi kita agama diangkat di tempat teratas melangkau politik semasa,” katanya lagi. – UMNO Online