Berita

Suara UMNO Putrajaya: Cadang Tambah MPP, Tambah Peruntukan Kewangan Untuk Aktiviti Komuniti Rakyat

PUTRAJAYA – Senator Dewan Negara, Datuk Hisamudin Yahaya mencadangkan pihak kerajaan untuk menambah lagi dua Sub Zon bagi Kawasan Putrajaya berkaitan Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) yang berfungsi sebagai sebuah majlis untuk program-program pembangunan modal insan dan kemasyarakatan.

Ini kerana katanya, masalah penjagaan Sub Zon yang ada kini adalah terlalu besar.

“Di bawah MPP Zon Putrajaya terdapat pecahan 6 MPP Sub Zon yang bertanggungjawab mengawasi present-presint yang berada dalam Putrajaya.

“Bagi MPP Sub Zon 1, mempunyai jumlah presint yang banyak yang perlu dijaga, iaitu Presint 5, 6, 16, 17 dan 18. Serupa juga MPP Sub Zon 5 yang mempunyai jumlah presint yang banyak, iaitu Presint 14, 15 dan 12. Manakala MPP Sub Zon 4 mengawasi keseluruhan Presint 11 yang mempunyai kawasan yang amat besar,” katanya ketika mengambil bahagian dalam sesi perbahasan Pembentangan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12, di Dewan Negara, semalam.

Dalam hal yang sama, beliau yang juga Naib Ketua UMNO Bahagian Putrajaya turut mencadangkan agar Kerajaan boleh menambah peruntukan kewangan bagi MPP Putrajaya supaya ia dapat melaksanakan aktiviti-aktiviti komuniti rakyat dengan berkesan.

Ujarnya, masalah kewangan yang dihadapi oleh MPP adalah serius kerana dengan jumlah bajet yang sama bagi setiap Sub Zon tetapi keluasan saiz kawasan yang dijaganya berlainan.

“Marilah kita bersama-sama berusaha menuju masa depan yang lebih baik untuk negara kita. Saya berharap setiap daripada kita dapat meneruskan tekad dan semangat padu dalam mengekalkan prestasi kerja yang produktif dan progresif,” katanya.

Terdahulu beliau mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas pembentangan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kedua Belas 2021 – 2025: Malaysia Madani: Mampan, Sejahtera dan Berpendapatan Tinggi pada 11 September 2023 di Dewan Rakyat.

“Pembentangan usul ini adalah untuk menyedari akan cabaran dan rintangan negara untuk mengekalkan kestabilan dan kemampanan ekonomi dengan melihatkan trend ekonomi dunia, ekonomi fiskal negara serta melihat kejayaan sepanjang 2021 sehingga 2023.”

Beliau turut menyentuh berkaitan Projek Perumahan Rakyat dalam RMK12 yang sasarannya adalah membina sebanyak 500,000 unit rumah dari tahun 2021 hingga tahun 2025 dan sehingga akhir tahun 2022, sebanyak 108,373 unit rumah telah dibina.

“Pembinaan ini sebenarnya sangat bertepatan dalam menangani isu pemilikan perumahan yang semakin meruncing dalam kalangan rakyat terutamanya golongan B40,” katanya lagi. – UMNOPutrajaya