Berita

Tengku Adnan Hargai Kehadiran Kepimpinan Tertinggi UMNO, Presiden Parti

PUTRAJAYA – Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor melahirkan penghargaan kepada kepimpinan tertinggi UMNO khususnya Presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang telah hadir dan bersama-sama ahli-ahli UMNO Putrajaya hari ini.

Datuk Seri Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) telah hadir dalam Perjumpaan Khas Bersama Kepimpinan UMNO Bahagian Putrajaya hari ini.

“Alhamdulillah. Terima kasih kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang telah bersama- sama barisan kepimpinan UMNO Bahagian Putrajaya serta ahli-ahli parti di sini.

“Kami ahli-ahli UMNO Putrajaya sangat menghargai kehadiran dan memahami amanat yang telah diberikan dalam perjumpaan ini. Tekad kami adalah untuk terus perkukuh UMNO.

“Amanat yang amat bermakna dan kami akan laksana dengan tekad perjuangan atas nama “Bersatu, Bersetia dan Berkhidmat,” katanya.

Dalam masa yang sama beliau turut menzahirkan ucapan syabas kepada anggota UMNO Putrajaya yang dapat membuktikan kesungguhan dalam usaha mengembalikan kekukuhan UMNO.

Perjumpaan khas ini turut disertai Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki dan Pengerusi Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Johari Ghani. – UMNOPutrajaya