Berita

Komitmen UMNO Terus Sokong Pertumbuhan Ekonomi Bangsa – Tengku Adnan

KUALA LUMPUR, 14 Nov – Bendahari UMNO Malaysia, Datuk Seri Dr Tengku Adnan Tengku Mansor memaklumkan bahawa UMNO sentiasa menyokong pelbagai usaha bagi memastikan pertumbuhan ekonomi bangsa sentiasa aktif dan berkembang.

Katanya, peluang dan ruang sentiasa diaplkasi bagi memastikan golongan Bumiputera tidak ketinggalan dalam bidang terbabit.

“UMNO akan terus berazam untuk memastikan keadilan ekonomi dan peluang yang saksama untuk semua lapisan masyarakat termasuklah bangsa Melayu. Kongres Ekonomi Bumiputera ini merupakan medan strategik untuk mencapai matlamat ini,” katanya.

Terdahulu beliau telah menyampaikan ucapan bagi menutup ‘Round Table’ Pra-Kongres Ekonomi Bumiputera Anjuran Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia yang diadakan di Ibu Pejabat Pemuda UMNO, pada Ahad.

Katanya, sesi terbabit amat penting dan memberi makna cukup besar dalam mencambah idea bagi kalangan anak-anak muda yang bakal menjadi pewaris atau penerus kepada agenda memartabat ekonomi bangsa.

“Pemuda UMNO ini adalah lapisan pemimpin yang bakal meneruskan kesinambungan perjuangan bangsa khususnya bagi memastikan golongan Bumiputera dapat meningkatkan taraf hidup dan memperbaiki kedudukan ekonomi,” katanya lagi.

Jelas Tengku Adnan yang juga Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, jurang kemiskinan akan dapat ditangani dengan peningkatan ekonomi yang tentunya boleh diabgkat melalui kestabilan politik dan sosial.

“Kongres Ekonomi Melayu oleh sayap Pemuda UMNO adalah satu manifestasi kepercayaan kepada pelapis kepimpinan muda sebagai bakal menjadi pemimpin negara pada masa akan datang.

“Kita mengharapkan pelbagai idea baharu dan di luar kotak bagi meningkatkan kekuatan ekonomi Melayu dan Bumiputera serta menjadikan UMNO kembali kukuh dalam pelbagai arena,” katanya lagi. – UMNOPutrajaya