Aktiviti & Komuniti

Teknik Menjawab SPM Inisiatif UMNO Putrajaya Pastikan Anak-anak Cemerlang

PUTRAJAYA – Usaha bagi melahirkan pelajar cemerlang dalam akademik memerlukan sokongan daripada pelbagai pihak sebagaimana UMNO Bahagian Putrajaya yang sentiasa mendukung usaha bagi memastikan anak-anak Putrajaya berjaya.

Dalam hal ini, UMNO Bahagian Putrajaya melalui Biro Pendidikan telah menganjurkan Program Teknik Menjawab Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 bagi subjek Kertas 2 Bahasa Melayu dan Sejarah, hari ini.

Majlis tersebut telah dirasmikan oleh Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dengan diiringi Pengerusi Biro Pendidikan merangkap Naib Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Hisamudin Yahaya. Turut bersama ialah Timbalan Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Ahmad Faisal Abdul Karim selain tenaga pengajar dan anak-anak yang bakal menduduki SPM.

Program tersebut dilaksana atas inisiatif membantu para pelajar yang bakal menduduki SPM dengan dibantu oleh tenaga pengajar berpengalaman. Peserta melibatkan 100 peserta terdiri daripada calon-calon SPM terpilih dari sekolah-sekolah dalam Parlimen Putrajaya yang dikumpulkan untuk diberikan tips dan teknik yang betul bagaimana hendak menghadapi peperiksaan sebenar.

Pengerusi Biro Pendidikan, Datuk Hisamudin memaklumkan bahawa matlamat Biro Pendidikan UMNO ialah menyasarkan seramai mungkin calon memperoleh keputusan A dalam subjek-subjek utama.
“Usaha sedemikian wajar dilakukan secara berterusan bersama pihak sekolah melalui kerjasama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta Majlis Pengetua Sekolah Menengah Putrajaya.

“Pihak Biro turut merakamkan jutaan terima kasih kepada Perbadanan Putrajaya (PPj) atas kesudian menaja dewan dan fasaliti bagi menjayakan program ini. Terima kasih daun keladi,” katanya lagi. – UMNOPutrajaya